Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar menunjukkan statistik selepas sidang media berkenaan Ops Gempur Selangor 2020 di Rawang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 23 JUN 2020

RAWANG – Sebanyak 330 buah kilang dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam tempoh tiga bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 mac lalu.

Tindakan itu diambil kerana kilang-kilang terbabit didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Ketua Pengarahnya, Norlin Jaafar berkata, JAS telah melakukan pemeriksaan ke atas 50,439 kilang di seluruh negara dalam  tempoh.

Menurutnya, antara kilang yang dikenakan tindakan ialah tiga kilang kelapa sawit yang didapati mencemarkan sumber air.

Beliau berkata, antara tindakan yang telah dikenakan adalah notis arahan, kompaun, penahanan operasi kelengkapan dan pembukaan kertas siasatan untuk tindakan mahkamah.

“Pelbagai kesalahan contohnya tidak melabel bahan buangan berjadual, tidak mematuhi peraturan-peraturan buangan berjadual, udara bersih (tahap kualiti udara) dan juga perindustrian,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Norlin memberitahu, sebanyak 49 kilang didapati bersalah di bawah akta yang sama dalam Ops Gempur Selangor 2020 yang dilakukan secara berperingkat pada 16,18 dan 23 Jun lalu.

Dalam Ops yang berlangsung selama tiga hari itu, katanya, sebanyak 120 buah kilang di Sepang, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak dan Hulu Selangor telah diperiksa.

“Dalam hal ini 124 tindakan penguatkuasaan telah diambil di bawah perundangan tersebut yang merangkumi 22 notis arahan, 97 kompaun, 3 penahanan operasi kelengkapan serta dua kertas siasatan dibuka untuk tindakan mahkamah,” katanya .

Jelas beliau, operasi tersebut merupakan salah satu inisiatif JAS yang dimulakan pada tahun ini untuk mempertingkatkan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya demi mencegah pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada operasi pengilangan daripada pelbagai jenis industri.

“Termasuklah industri plastik, kimia, pengilangan logam, industri berasaskan getah, kertas, makanan dan minuman, tekstil, percetakan serta elektrik dan elektronik.

“Operasi tersebut juga bertujuan untuk membanteras kes-kes pelupusan haram buangan berjadual dan pelepasan air buangan tidak terawat oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab susulan penghentian operasi pengilangan semasa PKP dan PKPB,” tambah beliau.

Seramai 125 anggota penguatkuasa JAS Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Putrajaya dikerah bagi menjayakan ops tersebut.

Menurut Norlin lagi, Ops Gempur akan diteruskan di semua negeri mengikut zon seluruh Malaysia.

“JAS amat komited dalam meneruskan penguatkuasaan dan pemantauan alam sekitar bagi memastikan kualiti alam sekitar tidak terjejas demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya. -MalaysiaGazette