Gambar hiasan

JOHOR BAHRU- Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat sedikit pagi tadi dengan seramai 614 orang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 607 orang malam tadi.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar R Vidyananthan berkata, setakat 8 pagi tadi, semua mereka yang melibatkan 156 keluarga di Muar, Batu Pahat, dan Pontian berada di 10 PPS.

Berlaku sedikit pertambahan mangsa yang dipindahkan ke PPS di Muar dan Batu Pahat malam tadi, manakala di Pontian, tidak berubah.

“Seramai 229 orang daripada 64 keluarga berada di 4 PPS di Muar, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Nawi, SK Orang Kaya Ali, SK Batu 18, dan SK Parit Bulat, manakala 183 orang daripada 39 keluarga berada di 3 PPS di Batu Pahat iaitu SK Peserai, Sekolah Agama 3 Serangkai, dan SK 3 Serangkai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Pontian, seramai 202 orang daripada 53 keluarga berada di 3 PPS, iaitu SK Seri Bukit Panjang, SK Seri Bunian, serta SK Kampung Melayu Raya.

Banjir di beberapa daerah berlaku sejak Sabtu apabila beberapa kawasan rendah dinaiki air berikutan hujan lebat melebihi kadar biasa ditambah fenomena air pasang.

Sementara itu, hujan lebat berterusan dapat dilihat di beberapa daerah sejak 6 pagi tadi.- Bernama