Datuk Ramli Din. foto AFFAN FAUZI, 17 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Polis akan menghubungi pihak berkuasa Australia bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes dua rakyat Malaysia yang ditahan di negara itu kerana disyaki mendalangi penyeludupan 360 kilogram dadah jenis methamphetamine dianggar bernilai AU$180 juta (RM530 juta) baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, ini termasuk mengenai sumber bekalan dadah yang diperoleh suspek untuk diseludup masuk ke Australia.

“Polis akan turut menyiasat hal-hal yang berkaitan dengannya yang tidak boleh didedahkan. Kita akàn memohon segala maklumat daripada mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Khamis lepas, media melaporkan Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan memaklumkan dua warga Malaysia berusia 44 dan 45 tahun diberkas susulan penahanan seorang lelaki warga Australia menerusi Operasi TIRIDATES yang dijalankan secara bersama oleh AFP dan Pasukan Sempadan Australia (ABF).

Menurut kenyataan itu, dadah tersebut disorok di dalam kontena perabot yang tiba di Melbourne melalui jalan laut dari Malaysia. – Bernama