Sebelas kakitangan Risda Kemaman diiringi pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU- Tindakan 11 kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Kemaman membuat tuntutan palsu mengundang padah apabila mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Semua tertuduh yang terdiri daripada 7 lelaki dan 4 wanita berusia 28 hingga 49 tahun itu mengaku bersalah melakukan kesalahan itu membabitkan bayaran hotel serta elaun perjalanan dalam negeri.

Mereka yang didakwa ialah Wahida Syukriah Haron, 29; Wahida Wahab, 33; Azzere Sidi Ahmad, 29; Mohd Alias Ramli, 29; Noramelia Abdul Razak, 29; Aqilah Zainal Annuar, 30 dan Mohd Dina Che Man, 30.

Turut dituduh ialah Mohd Khairol Mat Khalib, 38; Mohd Noorhisyam Zakaria, 38; Muhammad Faiz Irzwan Abdul Ghani, 27 dan Zainal Ahmad, 35.

Turtuduh yang didakwa di depan Hakim Noriah Osman terdiri daripada penolong pegawai pertanian, pembantu tadbir dan pembantu operasi.

Masing-masing mengaku bersalah dalam pertuduhan alternatif, iaitu menggunakan dokumen palsu yang merupakan resit beberapa hotel, termasuk Kuala Lumpur International Hotel, Angulia Beach House dan Adamson Inn Kuala Lumpur yang bernilai RM120 hingga RM380.

Selain itu, beberapa tertuduh turut didakwa menggunakan dokumen palsu bagi menuntut elaun makan dan perjalanan RM20 hingga RM85 di pejabat Risda Kemaman pada April 2018.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, peguam Mohd Hayyatuddin Muhamad yang mewakili semua tertuduh merayu mahkamah membenarkan anak guamnya diberikan ikat jamin rendah memandangkan mereka masih perlu menanggung keluarga serta mempunyai anak kecil.

Hakim kemudiannya membenarkan semua tertuduh masing-masing dijamin RM2,000 hingga RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta menetapkan esok untuk jatuh hukum.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Wan Shaharuddin Wan Ladin.- BERNAMA