Dua pemaju di sekitar Lembah Klang hari ini dikompaun kerana kesalahan membina rumah kongsi tanpa kebenaran.

KUALA LUMPUR – Dua pemaju di sekitar Lembah Klang hari ini dikompaun kerana kesalahan membina rumah kongsi tanpa kebenaran.

Tindakan itu dibuat menerusi operasi bersepadu membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) pada jam 10 pagi.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun Seksyen 80 AJPB 1974 dikeluarkan atas kesalahan membina rumah pekerja tanpa kebenaran.

Katanya, tujuan operasi adalah mengumpul data serta pematuhan Prosidur Operasi Standard (SOP) tapak pembinaan.

“Menerusi operasi itu, hasil pemeriksaan mendapati kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan. Keputusan saringan Covid-19 telah dihantar ke Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) menerusi emel.

“Pihak CIDB, PDRM dan KKM menjalankan pemeriksaan senarai pekerja.

“Hasil siasatan juga mendapati terdapat pembinaan rumah pekerja (kongsi atau kabin) yang dibina tanpa kelulusan,” katanya kepada wartawan.

Dalam pada itu, katanya, DBKL tidak berkompromi terhadap mana-mana pemaju yang melanggar peraturan ditetapkan malah memberi kemudahan dan tempat tinggal kepada pekerja asing mereka tanpa kebenaran.

“Pembinaan rumah kongsi tanpa kebenaran merisiko keselamatan dan mengancam nyawa pekerja,” katanya.- MalaysiaGazette