KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mahu masyarakat di negara ini mencontohi kegigihan para pertugas barisan hadapan sepanjang pandemik Covid-19.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, golongan tersebut bertugas siang malam tanpa mengira penat lelah semata-mata untuk memastikan rakyat dan negara ini dapat dikekang dari penularan virus yang boleh meragut nyawa itu.
“Sebagai tanda terima kasih dan ingatan kita dengan bidang tugas mereka, kita meraikannya dengan mempromosikan produk ikan tuna seperti sate tuna dan aiskrim rumpai laut.
“Sepanjang empat bulan sejak wabak Covid-19 mula dikesan, para petugas ini berkhidmat dengan begitu baik dan cemerlang sekali.
“Hendaknya pengorbanan mereka ini dijadikan contoh dan tauladan oleh seluruh rakyat sebagai satu budaya bahawa kita sentiasa berkhidmat dan sama-sama memberikan sumbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program promosi produk tuna kepada petugas barisan hadapan yang menangani penyakit Covid-19 di MAEPS dekat sini, hari ini.
Menurut Ahmad, ikan tuna merupakan produk kekayaan negara yang baharu diterokai oleh nelayan melibatkan Lautan Hindi dan perairan negara Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
Kata beliau, nelayan yang berpangkalan di Pulau Pinang dan Langkawi menangkap tuna jenis neritik di perairan ZEE, manakala nelayan di perairan Lautan Hindi menangkap tuna jenis oseanik.
Mengenai potensi industri tuna, beliau menjelaskan, setakat ini sebanyak 17 vessel atau bot laut dalam beroperasi menangkap tuna untuk keperluan negara. – MalaysiaGazette