Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mempastikan rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi diberi keutamaan sekiranya ibadah haji dibenarkan tahun ini.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan sentiasa berkomunikasi dengan rakan sejawatnya di Arab Saudi bagi tujuan yang sama.

“Berhubung perkara ini, saya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berjanji akan sentiasa berkomunikasi dengan kerajaan Arab Saudi khususnya dengan rakan sejawat masing-masing bagi memastikan rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi diberi keutamaan sekiranya kerajaan Arab Saudi memutuskan untuk membenarkan ibadah haji secara terhad ini,” katanya dalam satu kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini.

Menurut Hishammuddin, beliau telah menerima panggilan telefon daripada Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud dan dimaklumkan kerajaan Arab Saudi sedang mempertimbangkan untuk membenarkan ibadah haji tahun ini diteruskan namun terhad kepada rakyatnya serta rakyat negara-negara Islam yang berada di sana.

“Sesungguhnya, Malaysia amat menerima baik pendirian kerajaan Arab Saudi ini yang mana ia bukan sahaja menggambarkan kecaknaan Khadimul Haramain al-Sharifain Raja Salman bin Abdulaziz dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi terhadap umat Islam di seluruh dunia bagi memastikan ibadah
ini dapat dilaksanakan dengan selamat berdasarkan perspektif kesihatan umum.

“Malah ia juga bertepatan dengan konsep maqasid syariah iaitu hifz al-nafs (pemeliharaan nyawa),” kata Hishammuddin,- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Arab Saudi benarkan ibadat haji dengan jemaah terhad