Presiden IKHLAS, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah (duduk) meninjau kedai di SACC Mall, Shah Alam dan mengadakan perbincangan antara peniaga dan pihak pengurusan di Shah Alam baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd. Ridzuan Abdullah meminta kerajaan Selangor memberi pelepasan sewa kepada peniaga di SACC Mall.

Pelepasan sewa itu mestilah sekurang-kurangnya enam bulan.

“Saya sudah berjumpa dengan peniaga dan pihak pengurusan bangunan untuk mendapat maklum balas mereka berhubung isu berkenaan.

“Hasil perbincangan kedua-dua pihak, saya memahami cabaran yang dialami mereka khususnya sejak berlakunya krisis pandemik Covid-19.

“Saya akan mengemukakan tuntutan peniaga-peniaga dalam waktu terdekat,” katanya.

Beliau mengulas isu peniaga di SACC Mall kehilangan 90 peratus pelanggan sejak tiga bulan operasi ditutup akibat krisis Covid-19 baru-baru ini.

BACA: Tiada kepelbagaian punca SACC Mall suram

Mohd Ridzuan turut mencadangkan pihak pengurusan mengadakan promosi besar-besaran seperti mengadakan pertunjukan fesyen, pameran kucing, pameran buku dan pameran digital bagi menggalakkan lagi penyertaan orang ramai.

“Jika diadakan pameran seperti sejarah Melayu, pameran keris dan pakaian kemuliaan Melayu mesti ia akan menjadi tarikan semua pengunjung di dalam dan luar negara kerana ia unik dan dinanti-nantikan satu dunia.

“Shah Alam memiliki 90 peratus penduduk Melayu jadi aktiviti berkaitan warisan Melayu boleh menghidupkan kembali roh di pusat beli belah ini,” katanya.

Tambah Mohd Ridzuan, pandemik yang berlaku bukan sahaja memberi kesan kepada sektor utama negara seperti pelancongan, malah pelbagai sektor lain seperti perniagaan di pusat beli belah.

“Banyak pusat beli belah mengalami nasib yang sama dan jika kita berkunjung ke pusat beli belah berhampiran SACC Mall seperti PKNS, Plaza Alam Sentral juga lengang tanpa pengunjung.

“Ia adalah saat getir bagi semua rakyat dan harap pihak pengurusan bangunan memahami situasi ini dengan pemberian diskaun sewa serta mencari inisiatif lebih dalam mempergiatkan promosi premis kepada rakyat.

“Kita boleh ambil contoh seperti di pasaraya yang pernah nyaris muflis seperti Subang Parade dan Bangsar Shopping Centre yang kini ‘hidup kembali’ dengan beberapa ubah suai dan daya tarikan,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SACC Mall hilang 90 peratus pengunjung