Pokok ganja yang dirampas dari salah seorang suspek wanita berusia 25 tahun di rumahnya di Kelana Jaya oleh pasukan polis Narkotik IPD PJ semalam.

KUALA LUMPUR – Dua wanita warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Petaling Jaya tumpas di tangan polis selepas ditangkap baru-baru ini.

Salah seorang wanita itu mengakui menanam pokok ganja di rumahnya di Kelana Jaya yang kemudiannya diserbu polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kedua-dua suspek ditangkap oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik pada Rabu lalu.

“Jam lebih kurang 5 petang semalam sepasukan polis Narkotik dari IPD Petaling Jaya menahan sebuah kenderaan jenis Proton Waja yang dinaiki dua suspek wanita tersebut di Jalan SS 5A/9 Kelana Jaya.

“Kedua-dua suspek wanita berkenaan berumur 25 tahun dan disyaki terlibat dalam kegiatan mengedar dadah.

Suspek kedua berusia 25 tahun yang turut ditangkap atas kesalahan dadah di Kelana Jaya oleh pasukan polis Narkotik IPD PJ semalam.Foto Ehsan Narkotik IPD PJ.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis di dalam kenderaan dinaiki kedua-dua suspek berjaya menjumpai sepeket plastik lutsinar yang disyaki dadah jenis ganja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dadah itu seberat anggaran 125 gram dan disimpan dalam ruangan tengah tempat brek tangan kereta suspek.

“Siastaan awal polis terhadap salah seorang suspek wanita berkenaan mengakui ada menanam pokok ganja di rumah miliknya.

“Bertindak atas maklumat suspek wanita berkenaan dan dipandu arah, polis membuat serbuan sebuah rumah milik suspek di Jalan SS 3/80 Kelana Jaya.

Suspek pertama berusia 25 tahun yang ditangkap simpan dan tanam ganja di rumah di Kelana Jaya oleh pasukan polis Narkotik IPD PJ semalam.Foto Ehsan: Narkotik IPD PJ

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah suspek wanita berkenaan polis berjaya merampas tiga botol plastik warna hitam yang ditanam dengan empat pokok disyaki pokok ganja,” katanya.

Tegas beliau, kedua-dua suspek kini telah direman selama tujuh hari sehingga 1 Julai ini dan disiasat dibawah Seksyen 39A(2) dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis juga menyiasat lanjut ke atas kedua-dua suspek berkenaan untuk melihat penglibatan mereka terutama dalam kes pengedaran dadah,” katanya.- MalaysiaGazette