Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 14 orang warga asing termasuk seorang warga tempatan yang di Ampang dikesan dijangkiti malaria.

Pengesahan itu dibuat susulan ujian saringan seramai 3,017 orang warga asing di tapak pembinaan dan taman perumahan berhampiran.

Pemeriksaan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan menerima notifikasi satu kes malaria pada 20 Mei lalu daripada Hospital Ampang.

Pesakit itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, adalah seorang warga Bangladesh yang merupakan pekerja di tapak pembinaan projek Lebuhraya SUKE di Ampang.

“Pada masa yang sama, sebanyak tiga kes dikesan di fasiliti kesihatan berdekatan iaitu dua warga negara asing dan seorang warga negara Malaysia.

”Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dikesan adalah 14 kes yang terdiri daripada warga Indonesia (9), Bangladesh (3), Nepal (1) dan Malaysia (1). Kesemua kes telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan selanjutnya dan disahkan sembuh,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Jangkitan malaria itu disyaki berpunca daripada salah seorang pekerja pembinaan warga Indonesia yang mendapat jangkitan dari Aceh, Indonesia dan jangkitan telah merebak kepada rakan sekerja serta penduduk berdekatan termasuk seorang warga negara Malaysia.

Kes terakhir dilaporkan pada 12 Jun 2020 dan pada masa ini kejadian malaria adalah terkawal.

Sebagai langkah pencegahan dan kawalan, Pusat Kesihatan Daerah Hulu Langat telah menjalankan aktiviti semburan racun residu di semua rumah kongsi pekerja iaitu sebanyak 193 buah dan telah memberi perlindungan kepada pekerja melalui edaran sebanyak 340 kelambu berubat.

Di samping itu, tempat-tempat takungan air di kawasan tapak pembinaan dan tempat ditemui jentik-jentik telah dibubuh racun pembunuh jentik-jentik.

Aktiviti kawalan malaria juga diperluaskan ke kawasan perumahan berdekatan.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan individu dan masyarakat di kawasan ini untuk mengambil tindakan berikut untuk mengurangkan risiko jangkitan malaria dengan mengelakkan aktiviti di luar rumah pada waktu malam; mencegah daripada gigitan nyamuk dengan menggunakan repelan, memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang apabila berada di luar rumah; dan mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami demam, sejuk dan menggigil. – MalaysiaGazette