KUALA LUMPUR – Untuk peringkat permulaan solat Jumaat dalam kalangan warga asing, kerajaan bersetuju membenarkan duta, pegawai diplomatik dan kakitangan beragama Islam sahaja menunaikan ibadat itu di masjid dan surau bermula 3 Julai ini.
Bagaimanapun, warga asing yang bukan status itu, masih dilarang berbuat demikian kerana keutamaan diberikan kepada rakyat tempatan menggunakan dewan solat utama untuk solat Jumaat.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setiap kelonggaran diberikan secara berperingkat mulai Jumaat ini, selepas lebih tiga bulan masjid ditutup kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini bersetuju hanya duta dan kakitangan asing beragama Islam sahaja boleh menunaikan solat Jumaat di masjid dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Mereka juga boleh solat Jumaat di surau yang beroperasi di kedutaan masing-masing seperti sebelum ini, dan Kementerian Luar Negeri akan menghantar notis memaklumkan kelonggaran itu.
“Bagi warga asing lain, kebenaran masih dalam pertimbangan dan akan diumumkan tidak lama lagi. Tetapi, sementara menunggu pengumuman itu, mereka masih tidak dibenarkan solat Jumaat di masjid,” katanya pada sidang media khas Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Mengenai solat Jumaat dua sesi, Ismail Sabri menjelaskan, setakat ini belum dibenarkan di Wilayah Persekutuan, kecuali kerajaan memberi kelonggaran membenarkan ruang di pekarangan masjid digunakan untuk solat.
Bagaimanapun, kata beliau, pengurusan masjid dan jemaah perlu memastikan SOP penjarakan sosial, selain digalakkan membawa sejadah sendiri.
“Setakat hari ini untuk Wilayah Persekutuan belum lagi dibenarkan solat dua sesi. Tidak ada pengumuman dibuat untuk itu, dan masih kekal dengan tidak dibenarkan.
“Cuma yang kita bersetuju dan benarkan ialah solat di pekarangan masjid dengan syarat ada penjarakan sosial,” katanya.
Mengenai sekolah dan madrasah tahfiz, beliau menjelaskan, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri juga telah mendengar permohonan dari Menteri Hal Ehwal Agama dan bersetuju untuk membenarkannya beroperasi.
Namun, tarikh operasi adalah serentak dengan sesi persekolahan bawah Kementerian Pelajaran yang akan diumumkan menterinya dalam waktu terdekat ini.
Katanya, kebenaran itu hanya untuk sekolah dan madrasah tahfiz berdaftar sahaja, termasuk yang mempunyai asrama dengan menggunapakai dan mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Pelajaran.
“Bagi sekolah dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar, kita benarkan beroperasi juga, tetapi perlu membuat permohonan dengan pihak berkuasa agama negeri. Namun, saya galakkan pengurusan berkenaan daftar sekolah dan madrasah masing-masing,” katanya.
Beliau turut memberitahu, Kementerian Pelajaran juga akan mengumumkan tarikh untuk pusat tuisyen, sekolah Pendidikan Khas, surau sekolah dan institusi pendidikan swasta beroperasi. – MalaysiaGazette