Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kerajaan masih ada kebimbangan kerajaan untuk membuka semula pintu sempadan dengan negara hijau walaupun negara berjaya menurunkan lengkungan rantaian kes Covid-19 menerusi memperketatkan langkah kawalan sempadan negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham berkata, perbincangan untuk membuka semula sempadan negara bagi kemasukan tenaga pakar antara negara hijau terlebih dahulu masih di peringkat awal.

Katanya, perbincangan perlu diteruskan antara negara-negara hijau dan walaupun perkara itu sudah dimulakan tetapi soal pelaksanaannya belum disentuh sehingga hari ini.

“Memandangkan kes-kes import khususnya di dalam negara menunjukkan peningkatan sejak beberapa hari kebelakangan ini ketakutan itu masih ada sebelum membuat kesimpulan mengenai pembukaan sempadan negara,” katanya dalam sidang media khas jangkitan semasa Covid-19 di Kementeriannya petang tadi.

Buat masa sekarang apa yang boleh dilakukan oleh enam negara termasuk Malaysia yang berstatus negara hijau adalah meneruskan perbincangan dan memantau situasi serta trend jangkitan kes di negara masing-masing.

Ia termasuk bagaimana negara-negara berkenaan boleh mencapai keseimbangan antara kehidupan dan taraf hidup merentasi sempadan antara negara secara mendalam lagi.

Menurutnya, setiap negara mempunyai keperluan dan prosedur standar operasi, selain kebaikan serta keburukan dalam cadangan pembukaan semula pintu sempadan negara.

“Sekiranya perbincangan boleh tampil dengan perjanjian kolektif dan dasar yang bersama, maka ia (pembukaan sempadan hijau) boleh dilaksanakan.

“Tetapi seperti saya katakan sebelum ini, perbincangan masih di peringkat perbincangan terlalu awal dan kami tidak akan terburu-buru dalam pelaksanaannya,” tegas beliau-MalaysiaGazette.