Seorang penguatkuasa KPDNHEP memeriksa beg Longchamp tiruan di sebuah premis di Cheras.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,020 beg Longchamp tiruan yang bernilai RM31,150 dirampas daripada sebuah premis kediaman di Cheras dalam satu operasi membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya.

Operasi ini dijalankan hasil maklumat yang diterima daripada pengadu, wakil pemilik cap dagang berdaftar Longchamp berkaitan penjualan barang-barang tiruan melalui transaksi dalam talian di lokasi pasaran terkemuka.

Pemeriksaan telah dijalankan dengan kerjasama wakil pemilik cap dagang berdaftar Longchamp menemui sebanyak 1,020 unit beg tangan dan 55 beg pouch jenama Longchamp.

Hasil daripada verifikasi awal yang dijalankan oleh wakil pemilik cap dagang berdaftar mendapati beg tangan dan pouch beg tersebut disyaki tiruan.

Kementerian itu berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Sekiranya, individu tersebut ialah suatu pertubuhan perbadanan, ia akan didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

Bagaiamanapun jika individu itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDNHEP, Low Swee Hon mengingatkan para peniaga agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain dan memberi amaran kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang.

Orang ramai juga digesa lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama di pasaran agar tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika dan cuba mengambil keuntungan yang mudah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast