Annuar ketika melakukan walkabout di Jalan Taman Setapak Indah berjanji akan memberi lesen kepada 60 penjaja di situ minggu depan.

KUALA LUMPUR – Selepas Che Nah atau Minah Awang mendapat lesen perniagaan dari Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, tumpuan kini beralih kepada 60 penjaja di Jalan Taman Setapak Indah, di sini.

Menurut Annuar, beliau berpuas hati dengan sikap penjaja di situ, walaupun tidak mempunyai lesen perniagaan, setiap dari mereka mematuhi arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, semua penjaja adalah penduduk tempatan, yang mengusahakan makanan dan menjualnya sendiri untuk mencari rezeki menyara keluarga.

“Saya walkabout secara kebetulan di Jalan Taman Setapak Indah dan melihat penjaja ini menjalankan aktiviti perniagaan secara berkhemah.

“Selepas meninjau dan berbual dengan mereka, saya berpuas hati dan insha-Allah, saya akan beri lesen kepada semua 60 penjaja ini minggu depan,” katanya yang berkongsi ciapan di Twitternya, hari ini.

Pada 4 Jun lalu, beliau sendiri menyerahkan lesen perniagaan kepada Che Nah yang berniaga nasi dagang di Jalan Medan Setia, dekat sini.

Che Nah, 71, kemudian melakukan sujud syukur kerana terlalu gembira dan terharu mendapat lesen perniagaan selepas menunggu 35 tahun mengusahakan perniagaan trak makanan di ibu kota.

Che Nah yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor berkata, memperoleh lesen perniagaan adalah perkara paling diidamkannya sepanjang bergelar peniaga dan tidak sangka ia diberikan sendiri oleh menteri.

Annuar kemudiannya berharap, tidak ada orang tengah cuba mengambil kesempatan di atas pemberian lesen kepada 60 penjaja itu.

Sementara itu, beberapa netizen memuji sikap baik hati dan prihatin Annuar yang mengambil berat nasib serta kebajikan peniaga kecil tempatan sejak memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan Mac lalu.

Netizen yang memakai nama Aazhar@Mr. Art berkata, pemimpin baik adalah yang selalu turun padang menyelesaikan masalah rakyat, bukan menyusahkan rakyat dengan tidak berhenti-henti berebut jawatan.

Netizen Tengku Adnin juga memuji Annuar dengan mengucapkan syabas kerana memberi lesen kepada mereka yang hendak berniaga.

“Cara ini dapat galak lebih ramai berniaga dan melahirkan lebih ramai usahawan dalam era Covid-19 ini,” responnya.

Namun, netizen yang memakai nama Sri Nilam Club memberi cadangan agar menyedaikan khemah yang fleksibel dan seragam supaya kelihatan terurus kemas serta bersih, sesuai dengan Kuala Lumpur bandar raya yang dikunjungi pelbagai pelancong dunia.

“Malaysia kita ke arah negara maju. Imej bersih dan tersusun wajib diutamakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast