Petugas membuat kerja-kerja akhir sebagai persediaan berikutan majlis kenduri-kendara dibenarkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Royale Palace, Cyberjaya. foto FAREEZ FADZIL, 26 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Para perancang perkahwinan boleh menarik nafas lega apabila kerajaan membenarkan penganjuran majlis perkahwinan diadakan mulai 1 Julai ini.

Pegawai Eksekutif Royal Palace, Muhammad Fauzi Abdul Manan berkata, sebaik sahaja ia diumumkan beliau terus berhubung dengan para pelanggannya untuk menetapkan tarikh baru untuk mengadakan majlis yang tertangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Mengikut kontrak yang dipersetujui setiap pelanggan yang telah meletakkan wang deposit untuk majlis perkahwinan tidak dibenarkan untuk membatalkan majlis, sebaliknya akan diubah tarikh kepada tarikh yang lebih sesuai selepas 1 Julai nanti” katanya.

Ketua Eksekutif Royale Palace, Muhammad Fauzi Abdul Manan bercakap selepas meninjau petugas membuat kerja-kerja mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai persediaan berikutan majlis kenduri-kendara dibenarkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Royale Palace, Cyberjaya. foto FAREEZ FADZIL, 26 JUN 2020

Pada 24 Jun lalu, kerajaan mengumumkan kebenaran penganjuran majlis sosial termasuk perkahwinan dan pertunangan bermula 1 Julai ini.

Menteri Kanan (keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, selain itu majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, majlis sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari jadi serta majlis ‘reunion’ juga dibenarkan dan dihadkan masanya untuk tempoh tiga hingga lima jam dengan kapasiti kehadiran tidak lebih 250 orang.

Menurut Muhammad Fauzi, cabaran besar yang dihadapinya semasa PKP ialah beliau terpaksa memberikan cuti tanpa gaji kepada para pekerjanya selain terpaksa membayar kos sewa dewan walaupun tiada majlis yang diadakan.

Walaupun pelanggan akan berkurangan dan tidak serancak dahulu, beliau tetap optimis perniagaannya akan beraunsur pulih selepas wabak itui berakhir. – MalaysiaGazette