Muhyiddin Yassin

TANGKAK – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak mahu menyentuh mengenai isu politik buat masa ini tetapi sebaliknya mahu menumpukan kepada soal kebajikan rakyat serta usaha merancakkan semula ekonomi negara yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri menjelaskan perkara itu ketika berucap pada Majlis Bertemu Pemimpin bersama pemimpin masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Pemangku Pengerusi dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menegaskan untuk keadaan ekonomi negara kembali rancak adalah bergantung kepada pemulihan peniaga dan pengusaha sektor ekonomi serta bentuk sokongan kerajaan persekutuan serta agensi berkaitan.

“Sebab itulah saya tak nak cerita pasal politik. Ada orang kata kenapa tak cakap politik, banyak orang di luar sana berpolitik, saya pun faham politik, sudah 40 tahun berpolitik, bukan saya tidak tahu.

“Nak lawan sana, nak sanggah situ sini, boleh buat, tetapi (yang) jadi perhatian utama saya tidak lain tidak bukan ialah soal kebajikan rakyat, soal pembangunan negara, soal merancakkan semula ekonomi, menjaga kesihatan penduduk dan langkah-langkah sebegitu, saya kira adalah langkah yang ditunggu oleh rakyat bukan cerita pasal bergelumang dengan soal politik,” katanya

Muhyiddin, yang juga ADUN Gambir dan Ahli Parlimen Pagoh, berkata cabaran untuk merancakkan semula ekonomi negara adalah sama besar dan penting dengan mengekang penularan COVID-19.

Ini merupakan kali pertama Perdana Menteri pulang ke kawasan DUN dan Parlimennya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac dan selepas kelonggaran merentas negeri dibenarkan sejak 10 Jun lepas. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Yeap..satu tindakan yg tepat PM..Jgn duk layan atok tgh meroyan laaa ni..rakyat dah muak dengan depa ni

Comments are closed.