Sebanyak 30 lagi kluster baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam lalu terutama melibatkan tempat kerja.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyaring seramai seramai 60,298 orang warga asing sehingga semalam bagi mengesan jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 2,575 kes atau 4.3 peratus dikesan positif, 57,441 kes (95.3 peratus) adalah negatif dan 282 kes atau 0.4 peratus masih menunggu keputusan.

Jelas beliau, seramai 105 kes atau 4.1 peratus warga asing yang positif masih dalam rawatan, 2,465 kes atau 95.7 peratus telah pulih dan dibenarkan discaj serta kumulatif kes kematian Covid-19 adalah sebanyak lima kes atau 0.2 peratus.

“Pada hari ini, majoriti kes positif yang dilaporkan adalah dalam kalangan bukan warga negara Malaysia. Sembilan kes positif adalah saringan ulangan daripada Kluster Pedas di Negeri Sembilan dan Melaka.

“Mereka sememangnya telah dikuarantinkan kerana telah terdedah kepada kes positif sebelum ini. Sehingga 28 Jun 2020, seramai 957 telah disaring dan setakat ini didapati 326 kes atau 34.1 peratus dikesan positif Covid-19.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 312 kes atau 95.7 peratus adalah dalam kalangan bukan warga negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham menambah, mengambil kira negara ini kini memasuki fasa pemulihan, pelbagai prosedur operasi standard (SOP) telah dibangunkan untuk
setiap sektor.

“Majikan perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan SOP dilaksanakan dengan betul dan terus bekerjasama dengan pihak KKM dalam mengambil langkah-
langkah bagi mencegah penularan Covid-19 khususnya dalam kalangan warga asing,” katanya. – MalaysiaGazette