Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kes positif Covid-19 di negara ini kekal dua digit selepas 10 kes direkodkan semalam berikutan terdapat 18 kes baharu dilaporkan hari ini.

Ia menjadikan jumlah kes positif adalah sebanyak 8,634 kes.

Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak itu adalah 195 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan, kata Ketua Pengarah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menjelaskan, daripada jumlah kes baharu, empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga orang warga negara Malaysia dan seorang bukan warga negara yang merupakan pemastautin atau dibenarkan
masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.

“Daripada 14 kes penularan di dalam negara, ke semua kes adalah bukan
warga negara Malaysia dan tiada kes dalam kalangan warga negara tempatan.

“Kes jangkitan itu di Negeri Sembilan dengan jumlah sembilan kes iaitu kes saringan
ulangan bagi Kluster Pedas, Selangor dua kes saringan melibatkan Kluster Depot Tahanan
Imigresen (DTI) Sepang.

“Kes di Sabah membabitkan satu kes saringan ke atas
banduan sebelum dibebaskan dari penjara dan satu kes jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dari Klinik Kesihatan ke hospital manakala Kuala Lumpur mencatat satu kes saringan di tapak pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham memberitahu, sehingga kini, sebanyak dua kes positif Covid-19 sedang
dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal
sebanyak 121 kes iaitu 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette