KUALA LUMPUR – Tidak tahan dengan keadaan sampah yang dibuang merata-rata hingga mewujudkan keadaan yang menyesakkan mata di sekitar Little India, Brickfields, Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Edmund Santhara bertindak mengutipnya sendiri lewat petang semalam.

Perbuatan beliau turut mengejutkan seegelintir pekedai dan orang ramai yang lalu lalang, akhirnya mendorong mereka mengutip sampah bersama.

Sebenarnya Edmund Santhara ketika itu mengadakan lawatan mengejut tanpa memberitahu mana-mana pihak berwajib.

Beliau memunculkan diri di Brickfields untuk memantau sendiri lokasi tersebut.

Santhara membuat lawatan mengejut itu selepas menerima banyak aduan sejak akhir-akhir ini berhubung pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh para peniaga, pengunjung termasuklah pelancong asing.

Ketika bercakap dengan MalaysiaGazette, kata Edmund Santhara yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata, beliau membuat lawatan mengejut itu untuk melihat sendiri tahap kebersihan di situ, selain memantau kehadiran warga asing yang berniaga.

Jelas beliau, banyak sampah- sarap berlonggok di sana sini akibat perbuatan peniaga dan pengunjung.

“Saya terpaksa ambil inisiatif sendiri, saya kena didik mereka untuk jaga kebersihan bermula daripada diri  sendiri. Saya mengutip sendiri sampah-sampah itu depan mereka.

“Biarlah mereka lihat sendiri dan tersedar. Kadang-kadang kita boleh nasihat, kadang-kadang kita kena guna cara sebegini. Perbuatan membuang sampah merata-rata seperti ini sebenarnya boleh dielakkan.

“Saya ada juga buat teguran terutamanya dalam kalangan peniaga tentang isu ini, sedikit nasihat yang saya harap akan diguna pakai dan diamalkan oleh mereka kelak.

“Little India Brickfields ini bukan sahaja dikunjungi ramai sebaliknya juga menjadi lokasi tumpuan pelancong asing, adakah ini yang kita hendak tunjukkan kepada mereka?

”Kadang-kadang isu seperti ini hanya perlukan kesedaran sivik dan bukannya perancangan besar-besar,” katanya.

Sambung Edmund Santhara, beliau ada mengarahkan pihak berwajib untuk memastikan tong-tong sampah yang disediakan sentiasa dibersihkan kerana cepat penuh khasnya pada hujung minggu.

“Saya dapati tong sampah sentiasa penuh kerana pengunjung juga ramai terutamanya di hujung minggu seperti ini, saya telah minta supaya pihak berwajib kerap lakukan pembersihan dan mengosongkan tong,” ujarnya.

Dalam pada itu, Edmund Santhara juga mendedahkan bagaimana ketika beliau menegur beberapa peniaga dalam kalangan warga asing, ada juga bertindak melarikan diri lintang- pukang.

“Sememangnya saya sudah berikrar, kita sudah berjanji pembersihan warga asing tanpa akan dilakukan dan dibanteras sehabis baik, saya akan teruskan usaha ini sehingga akhir,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan rasa penghargaannya terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas kerja-kerja penambaikan yang telah dilaksanakan selepas arahannya sebelum ini.

“DBKL telah melaksanakan tugas mereka dengan sebaiknya maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk terus bersama menjaga kebersihan. Kita juga perlu ubah sikap untuk menjadi warga wilayah yang bertanggungjawab dalam memartabatkan inspirasi Wilayah Cakna,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.