Sheikh Ismail Sheikh Hassan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Selangor sedang mengesan seorang individu bernama Sheikh Ismail Sheikh Hassan  atau dikenali dengan panggilan EL bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang pemaju hartanah semalam.

Ketuanya, Datuk Fadzil Ahmat berkata, lelaki tersebut memiliki dua alamat di apartmen yang sama iaitu Apartmen Teratai, Bukit Beruntung MK Land di Rawang.

“Sheikh Ismail memiliki gelaran EL dan no kad pengenalan 940804-10-5351. Pihak polis ingin meminta bantuan orang ramai utk memberikan maklumat mengenai seorang individu yg dikehendaki untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, tujuh suspek lelaki termasuk seorang warga Bangladesh ditahan dan direman untuk siasatan polis kerana disyaki terlibat dalam penculikan dan kematian seorang ahli perniagaan berusia 55 tahun bergelar Datuk Seri.

Fadzil berkata, mayat mangsa telah ditemui di dalam belukar di Batu 27 Jalan Rawang, Bestari Jaya, Rawang, Hulu Selangor hari yang sama

Katanya, semua suspek termasuk dalang utama yang dikenali mangsa berusia antara 30-an hingga 50-an itu berjaya dicekup dalam beberapa serbuan dilakukan pasukan polis Selangor sejak pukul 11 pagi kelmarin.

Mengulas perkembangan kes sama, Fadzil berkata, semua suspek terdiri daripada tiga lelaki India mendapat perintah reman.

Jelas beliau bagi tangkapan kelmarin, dua suspek direman bermula semalam sehingga 3 Julai ini manakala dua lagi bermula semalam hingga 1 Julai depan.

Tambahnya, bagi tangkapan semalam, dua suspek direman bermula hari ini hingga 2 Julai ini manakala seorang suspek direman bermula hari ini hingga 30 Jun ini.

“Semua mereka berumur antara 20 hinga 56 tahun.

“Bedah siasat masih lagi dalam proses dan akan disambung pada hari ini,” katanya.

Sebelum ini, hasil siasatan polis ke atas salah seorang suspek berkenaan kes penculikan itu berjaya membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan belukar di Batu 27 Jalan Rawang, Bestari Jaya pukul 9 pagi semalam.

Kehilangan pemaju hartanah itu hanya disedari keluarganya pada waktu tengah hari kejadian apabila menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali meminta wang tebusan sebanyak S$50 juta (RM154 juta). – MalaysiaGazette