KOTA KINABALU – Lima daerah di Sabah iaitu Kota Belud, Kota Marudu, Penampang, Keningau dan Tuaran dilanda banjir susulan hujan lebat sejak semalam.
Dalam kenyataannya hari ini, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah berkata setakat pagi ini tiga pusat pemindahan sementara dibuka iaitu dua di Kota Belud yang menempatkan 31 mangsa daripada 16 keluarga dan satu di Penampang dengan 18 orang daripada lima keluarga.
Terdahulu, agensi itu melaporkan bencana tersebut menjejaskan 41 buah kampung.
“Sebanyak 19 Kampung terjejas di Kota Belud iaitu Kampung (Kg) Siasai Tamu, Kg Kota Belud, Kg Bobot, Kg Ejuk, Kg Menunggui, Kg Lebak Engad, Kg Serimbai, Kg Lingkodon, Kg Dongoi, Kg Marajah, Kg Lebak Moyoh, Kg Sadok-Sadok, Kg Gunding, Kg Linau, Kg Karang Benai, Kg Taun Gusi, Kg Tanjung Pasir, Kg Labuan dan Kg Tanjung Wakap,” demikian menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, beberapa kampung di Penampang, Keningau, Kota Marudu dan Tuaran juga dinaiki air, namun tiada PPS dibuka setakat pagi ini.
“Pemantauan sedang dibuat di kawasan-kawasan panas di daerah-daerah berkenaan dan segala maklumat terkini akan disalurkan dari semasa ke semasa,” kata agensi itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Datuk Richard Jomiji ketika dihubungi berkata beberapa jalan raya terjejas dan tidak dapat dilalui akibat tanah runtuh susulan hujan lebat lebih tiga jam semalam.
“Kawasan yang terjejas teruk ialah di KM41 Jalan Keningau Kimanis yang mengalami kejadian tanah runtuh pada 6.30 petang semalam. – MalaysiaGazette