Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempersoalkan perlukah Pas mahu mengusul undi percaya ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibentang serta dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula 13 Julai ini.

Naib Presiden UMNO itu berkata, sama ada mengemukakan usul percaya atau tidak, kesannya yang sokong akan menyokong.

Yang sebaliknya, tidak akan menyokong, katanya menerusi laman Facebook beliau.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataannya berkata, usul itu dibuat bagi menzahirkan sokongan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang disifatkan parti itu sebagai prihatin serta mengutamakan rakyat sejak menerajui pentadbiran negara mulai Mac lalu.

Beliau berkata, parti itu yakin kepemimpinan Perdana Menteri akan terus mendapat sokongan, malah sanjungan dari rakyat pelbagai kaum dengan perkhidmatan terbaik atas sokongan dan komitmen seluruh jentera kerajaan di peringkat Persekutuan mahupun sebahagian besar kerajaan negeri.

Takiyuddin berkata, Pas amat yakin usul itu akan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen apabila dibentangkan nanti.

“Dengan sokongan yang bakal diberikan, sudah pasti akan terus mewujudkan kestabilan negara dan kemakmuran bersama semua rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Saya kurang cerdik, tapi bila PAS usul undi percaya terhadap PM dan mendapat sokongan majoriti maka secara automatik le usul Atuk95 yang tua tak sedaq diri tuu KALAH. MUDAH kan.

    Tak payah le nak pertikaikan lagi.

Comments are closed.