Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kebenaran untuk melakukan aktiviti konvoi bermotosikal boleh ditarik balik sekiranya terlalu ramai yang tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan SOP yang telah dikeluarkan sebelum ini.

Mengulas secara khusus mengenai insiden sekumpulan penunggang motosikal yang melanggar SOP semasa berkonvoi di Pahang, semalam, beliau berkata, ia adalah kejadian pertama dan disifatkan sebagai kes terpencil.

“Orang dewasa sepatutnya boleh mengawal diri sendiri.

“Kejadian semalam adalah kes pertama dan telah pun diambil tindakan oleh pihak polis. Saya berharap ianya adalah satu kes terpencil.

“Tetapi jika  (ketidakpatuhan SOP) terus berleluasa, tidak mustahil kerajaan akan menyemak semula kebenaran konvoi motosikal.

“Saya harap para penunggang motosikal mematuhi SOP yang telah ditetapkan, jangan berkumpul beramai-ramai tanpa penjarakan sosial dan sebagainya,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tegas Ismail Sabri, kerajaan memandang serius terhadap perbuatan ingkar SOP.

Banyak  premis perniagaan termasuk restoran telah diarahkan tutup kerana melanggar SOP, katanya.- MalaysiaGazette