Dr Kamarul Zaman Yusoff
Dr. Kamarul Zaman Yusof

KUALA LUMPUR – Usul untuk menukar Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat tidak boleh dikatakan cubaan eksekutif (kerajaan) masuk campur urusan legislatif (Parlimen), kata penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff.

Beliau berkata, Seksyen 4a (1) dan 4a (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat jelas menyebut, “maka hendaklah ada seorang Ketua Majlis Mesyuarat” dan “Ketua Majlis Mesyuarat ertinya ahli Majlis Mesyuarat yang sedang menjadi ketua kerajaan”.

Sudah tentu, katanya, usul yang akan dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 13 Julai ini mengikut peraturan dan tidak bercanggah dengan doktrin pemisahan kuasa.

“Ini kerana, usul ini sudah pastilah perlu dikemukakan oleh Ketua Majlis Mesyuarat yang merupakan ketua kerajaan.

“Susah juga berhadapan dengan pembangkang seperti ini. Bila Perikatan Nasional (PN) tidak ganti Speaker Dewan Rakyat sebelum ini, PN dipersoalkan kenapa tidak mahu tukar speaker yang dipilih semasa Pakatan Harapan (PH) ketika PRU-14 yang lalu.

“Tetapi, apabila PN hendak tukar Speaker Dewan Rakyat, macam-macam komplen yang keluar dari pemimpin PH,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Liew Vui Keong yang menyifatkan usul itu tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan melanggar doktrin pemisahan kuasa.

Kata Vui Keong, doktrin pemisahan kuasa dengan jelas menyatakan yang eksekutif, legislatif dan kehakiman (Mahkamah) adalah tiga organ berbeza negara yang bebas antara satu sama lain.

“Satu organ tidak boleh dengan mudah masuk campur urusan (organ) lain. Malaysia mengamalkan doktrin ini, dan tidak ada sebab untuk menyingkirkan Tan Sri Mohamad Ariff dan Nga Kor Ming kerana kedua-duanya menjalankan tugas dengan professional,” kata Vui Keong.

Jelas Dr. Kamarul Zaman, beliau kesian dengan bekas Menteri Undang-Undang itu yang mungkin tidak membaca kenyataan daripada Mohamed Hanipa Maidin, mantas Timbalan Menterinya yang dilaporkan berkata, menjadi kelaziman kerajaan baharu akan menjadikan pertukaran Speaker dan Timbalan Speaker sebagai antara agenda paling awal.

“Tidak bolehlah kerajaan baru (tetapi) nak pakai Speaker kerajaan lama. Ini bertentangan dengan Konvensyen Parlimen,” kata peguam yang juga Ahli Parlimen Sepang itu.

Dr. Kamarul Zaman berkata, walaupun belum pernah berlaku, tetapi tidak bermakna kerajaan PN tidak boleh menukar Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

“Malah ia biasa berlaku di negeri yang pernah berlaku perubahan kerajaan negeri di pertengahan penggal seperti penukaran Speaker DUN Perak pada 7 Mei 2009.

“Penukaran Speaker Kerajaan Perak itu diputuskan sendiri oleh mahkamah selaras dengan Perkara 72 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu, kesahan apa-apa prosiding di dalam Dewan Undangan mana-mana negeri tidaklah boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.

“Begitu juga penukaran Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, mahkamah tentu akan isytihar sah berdasarkan Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan, kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.

Katanya, inilah doktrin pemisahan kuasa yang sebenarnya. – MalaysiaGazette