Ahmad Zulqarnain Onn

KUALA LUMPUR- Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan pelantikan Ahmad Zulqarnain Onn sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan berkuatkuasa 1 Julai ini menggantikan Jalil Rasheed.

Ahmad Zulqarnain sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Urusan, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Beliau dilantik sebagai salah seorang daripada dua Timbalan Pengarah Urusan pada tahun 2018 dan bertanggungjawab ke atas Pelaburan Strategik serta pengurusan pegangan strategik Khazanah dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Selain itu, beliau juga mengetuai pasukan Strategi Korporat di Khazanah. Ahmad Zulqarnain mempunyai pengalaman lebih 23 tahun dalam sektor perkhidmatan kewangan serta korporat.

“Berdasarkan  semua keperluan yang telah ditetapkan, PNB telah menerima kesemua  kelulusan yang diperlukan bagi pelantikan PGCE yang baharu, termasuk  di peringkat Yayasan Pelaburan Bumiputra,  Lembaga Pengarah PNB dan juga daripada pihak badan kawal selia.

“Sehubungan itu, Lembaga Pengarah PNB mengalu-alukan Ahmad Zulqarnain sebagai sebahagian daripada pasukan yang akan memacu PNB menjadi sebuah institusi pelaburan distinktif bertaraf dunia,” kata firma pengurusan dana terbesar negara itu dalam satu kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette