KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengumumkan pelantikan seramai 24 ahli badan bebas agensi tersebut yang telah menerima surat cara dan pelantikannya.

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar antara ikon popular yang membarisi badan tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM berkata, seramai tujuh ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa mulai 21 Mei 2020 sehingga 20 Mei 2023.

Pelantikan tersebut adalah dibuat atas nasihat Perdana Menteri mengikut Seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 (Akta 694).

Ahli-ahli LPPR terdiri daripada tujuh orang dipengerusikan oleh Abu Zahar Ujang iaitu Ismail Omar bekas Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang; Presiden Pemeriksa  Fraud Bertauliah Malaysia Datuk Seri Akhbar Satar,Pengarah Urusan The IA Group Datuk Dr Hamzah Kassim;Pengarah Urusan DC&A Group Datuk David Chua Kok Tee dan akhirnya Ahli Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia, Professor Madya Dato’ Dr Mohammad Agus Yusoff.

Sementara itu, seramai 12 ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dan lima ahli Panel Penilaian Operasi (PPO) turut dilantik oleh Perdana Menteri secara pentadbiran.

Tempoh PPPR berkuat kuasa adalah mulai 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2022 manakala PPO berkuat kuasa mulai 1 April 2020 hingga 30 Mei 2022.

Para ahli PPPR terdiri daripada bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah selaku pengerusi,Pengarah Urusan Berita Dan Hal Ehwal Semasa Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Datuk Manja Ismail; Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Datuk Prof. Dr. Azizan Baharuddin; Profesor Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya Prof. Dr Edmund Terence Eric Boniface Gomez.

Turut tersenarai tokoh terkemuka dunia kewartawanan iaitu Pengerusi Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Chamil Wariya, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia Datuk Freddie Fernandez,Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha,bekas Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Datuk Dr.Siti Norlasiah Ismail

Selain itu, Pengerusi Pertubuhan Ekonomi Wanita dan Kebajikan Norita Che Ali,Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan;Pengarah Urusan Skop Productions Sdn. Bhd. Datuk Md Yusof Md Aslam dan Peguambela & Peguamcara di Shukor Baljit & Partners Datuk Baljit Singh Sidhu

Manakala Ahli-ahli PPO terdiri daripada lima orang iaitu dipengerusikan oleh Bekas Timbalan Ketua Bahagian II Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham (Pengerusi),Bekas Timbalan Pengarah Bahagian Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan, Bank Negara Malaysia Dr. Mazlan Haji Ahmad;Bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Lembaga Hasil Dalam Negeri,Datuk Abdul Manap Dim; Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan
Bekas Timbalan Ketua Pengarah ( Penguatkuasaan dan Pematuhan), Kastam, Datuk Azimah Abdul Hamid.

Tambah SPRM, kesemua 24 ahli yang dilantik tersebut terdiri daripada golongan profesional serta pakar pelbagai bidang yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat bagi memantau pelaksanaan fungsi dan operasi SPRM.

Surat cara dan pelantikan bagi kesemua individu yang menganggotai LPPR, PPO serta PPPR itu telah disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.-MalaysiaGazette