Kementerian Komunikasi dan Multi Media komited untuk menambah baik liputan Internet di pe

KUALA LUMPUR – Bagi menambah baik liputan Internet di Chini, 10 menara baharu bagi perkhidmatan 4G akan dibina manakala sebanyak 11 menara sedia ada akan dinaik taraf dari 2G dan 3G kepada perkhidmatan 4G.

Untuk perkhidmatan jalur lebar tetap pula, sebanyak 439 premis daripada rangkaian jalur lebar tembaga (copper) sedia ada akan dinaik taraf kepada rangkaian jalur lebar gentian optik yang boleh menyokong perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi sehingga 1Gbps.

Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, inisiatif yang akan dilaksanakan oleh Telekom Malaysia Berhad ini dijangka siap menjelang hujung tahun 2021.

Sehingga kini, dua stesen pemancar di menara sedia ada di Chini dan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Paloh Hinai telah dinaik taraf ke perkhidmatan 3G dan 4G pada suku kedua 2020.

Sebuah menara baharu dengan perkhidmatan 3G dan 4G juga telah dibina dan telah beroperasi semenjak suku kedua 2020.

Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini akan meningkatkan liputan dan kualiti capaian Internet di Chini, sekali gus membolehkan rakyat mendapat manfaat secara menyeluruh menerusi perkhidmatan yang lebih pantas dan berkualiti.

Saifuddin menambah, seawal Jun 2020 lalu, proses menaik taraf dan peluasan liputan Internet telah dijalankan oleh Pihak Pemberi Perkhidmatan dengan menempatkan Pemancar Telekomunikasi Bergerak secara sementara serta menara-menara sedia ada telah dinaik taraf kepada rangkaian 4G secara kekal.

Langkah tersebut adalah bagi menampung khalayak yang berkunjung ke Chini terutamanya kawasan rancangan
penempatan utama Felda.

Hasil daripada kerja penambahbaikan dan naik taraf liputan tersebut, penduduk di Dewan Undangan Chini amnya dan di kawasan sekitar mendapat manfaat dan menikmati liputan Internet yang lebih baik dan stabil daripada sebelum ini.

”Walau bagaimanapun, saya sedar masih terdapat lagi tempat-tempat di dalam DUN Chini terutamanya di kawasan pedalaman yang masih kurang dan memerlukan peningkatan liputan komunikasi dengan pembangunan infrastruktur atau menara yang baharu.

”Usaha untuk merancang penambahbaikan liputan sedang dilaksanakan kerana kementerian saya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa komited dalam memastikan penduduk setempat mendapat perkhidmatan komunikasi yang terbaik demi kesejahteraan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast