Marc Jurado akan menyertai Manchester United akhir musim ini.

MADRID – Bintang muda akademi bola sepak Barcelona, Marc Jurado hari ini mengucapkan selamat tinggal kepada kelab itu.

Ucapan terakhir pemain itu menyusul dalam Instagram rasminya selepas dia mengesahkan akan meninggalkan kelab yang disertai sejak berusia 7 tahun.

Berita tersebut menguatkan lagi spekulasi bahawa pemain itu akan menyertai the Red Devils dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) akhir musim ini.

Bakat berusia 16 tahun itu merakamkan penghargaan kepada the Catalans atas segala tunjuk ajar dan latihan yang mencungkil bakatnya seawal usia 7 tahun.

Jurado yang beraksi pada posisi pertahanan merupakan antara prospek terbaik di kelab La Liga itu.

Laporan terbaharu berkata, Jurado sudah memeterai terma perjanjian  menyertai Manchester United pada Januari lalu.

Barcelona gagal memujuk pemain itu dengan peluang dan gaji lumayan di Nou Camp sebelum berjaya diikat oleh skuad Ole Gunnar Solskjaer.

Bagaimanapun Red Devils masih perlu membayar yuran pampasan kepada Barcelona kerana membantu melatih Jurado sejak kecil lagi dan yuran sekitar 200,000 pound dianggap memadai bagi tujuan itu.

Ucapan selamat tinggal pemain Akademi Barcelona Marc Jurado semalam.

“Bukan senang untuk berpisah daripada kelab yang telah memberikan kamu segala-galanya.

“FC Barcelona merupakan rumah dan keluarga kedua saya, tempat saya membina diri sebagai pemain berkaliber dan manusia berguna.

“Hari ini tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal dan saya turut merakamkan setinggi penghargaan kepada setiap individu di Barcelona yang membantu saya selama ini membesar bersama generasi yang sangat istimewa,” katanya menerusi status di Instagram.-MalaysiaGazette