KUALA LUMPUR – Pelan tindakan untuk membangunkan Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) yang lebih moden dan sesuai sudah di peringkat akhir.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelan itu disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pelaksanaannya dianggarkan menelan kos sehingga RM200 juta hingga RM300 juta.
Kos itu membabitkan pembinaan bangunan berteknologi hijau serta penggunaan lebih banyak jentera, dengan mengambil contoh model pasar borong di Jepun, Korea dan beberapa negara maju lain.
“Kita mahu menyediakan tempat berniaga yang lebih baik untuk semua, termasuk peniaga dan pengguna. PBKL ini sudah hampir 30 tahun dan bangunannya sudah tentu perlu diperbaharui.
“Ini tanah DBKL dan mereka boleh memutuskan kaedah manakala bangunan lama tidak semestinya perlu diusik. Kita ada ruang untuk membina,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke PBKL di sini hari ini.
Hadir sama pada sesi lawatan tersebut, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan.
Menurut Annuar lagi, projek tersebut dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh setahun dari tarikh mula pembinaannya.
Dalam pada itu Annuar berkata, DBKL sedang meneliti beberapa kaedah pelaksanaan, termasuk cara kreatif untuk menampung kos pembinaan bagi meminimumkan penggunaan dana daripada kerajaan. – MalaysiaGazette