Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bercakap kepada media selepas meninjau keadaan semasa di Pasar Borong Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat akan ditentukan oleh Ahli-Ahli Parlimen.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, Azhar mesti mendapat sokongan yang cukup daripada Ahli-Ahli Parlimen bagi membolehkan beliau menduduki kerusi Speakar Dewan Rakyat.

Menurutnya, itu merupakan perkara biasa.

Untuk beliau dilantik, Azhar perlu melepaskan semua jawatan yang disandang ketika ini termasuk jawatan dalam parti politik atau badan-badan lain.

“Saya rasa bolehlah berspekulasi sehingga perkara itu disahkan.

“Bagi saya seseorang yang hendak dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat seharusnya melepaskan semua jawatan termasuk jawatan dalam parti politik dan jawatan dalam badan-badan yang lain.

“Ia seiring dengan tanggungjawab yang bersesuaian dengan status dan kedudukan seorang Yang Dipertua Dewan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Annuar berpendapat, pelantikan Azhar ke jawatan berkenaan adalah wajar kerana beliau telah menunjukkan khidmat yang baik dan cemerlang ketika memegang jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, apa yang penting, pelantikan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat dinilai melalui kriteria-kriteria tertentu dan semua itu pasti ada pada diri Azhar sebelum keputusan melantiknya dibuat.

Dalam pada itu, Annuar menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa cadangan pelantikan Azhar ada mempunyai kaitan dengan abangnya, Tan Sri Idrus Harun yang dilantik Peguam Negara pada Mac lalu.

Ujarnya, adalah tidak adil untuk mengaitkan pelantikan Azhar dengan perkara itu kerana beliau sendiri dilantik sebagai Pengerusi SPR ketika berada dalam pemerintahan kerajaan terdahulu.

“Saya rasa tidak adil kalau nak kaitkan abang dia sebagai AG (Peguam Negara)..Art Harun (Azhar) dilantik SPR sebelum pun AG dilantik dan dia telah pun menunjukkan  khidmat yang baik dan cemerlang di SPR. Tidak ada perkara yang luar biasa,” ujarnya.

Media hari ini melaporkan Azhar dipercayai tidak akan hadir semasa pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada hari Ahad ini.

Sumber-sumber SPR memaklumkan, Azhar juga tidak akan menghadirkan diri untuk mana-mana program suruhanjaya itu lagi.

Ini kerana beliau telah melepaskan jawatan sebagai Pengerusi SPR semalam. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Speaker Dewan Rakyat perlulah dilantik dari kalangan mereka yang punyai latar belakang Islamic yant kuat, bukan jenis2 CAP AYAM spesis LGBT!

    Harap maklom!

Comments are closed.