KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Belia Malaysia mengecam keras tindakan biadab penulis dan penerbit buku “Rebirth: Reformasi, Resistance, and hope in new Malaysia” yang mengubah suai Jata Negara dengan tujuan menghina lambang rasmi kedaulatan negara.

Lukisan mirip Jata Negara itu mempamerkan seorang wanita di dalam keadaan kurang sopan di atas bulan dan bintang, serta mengubahsuai bentuk dua ekor harimau selain daripada menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya, seolah-olah merendah-rendahkan martabat Jata Negara.

Sedangkan, Jata Negara iaitu lambang kerajaan Malaysia yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952.

Tegasnya, perbuatan ini adalah satu penghinaan kepada lambang kebesaran negara, sekali gus merendahkan maruah Malaysia sebagai negara berdaulat.

”Perbuatan ini oleh penulis buku Kean Wong jelas melanggar peruntukkan di bawah Seksyen 3 Larangan menggunakan lambang, nama dan rupaan gambar dengan tidak wajar dan juga Seksyen 5, Akta Lambang dan Nama 1963.

”Akta Lambang dan Nama 1963 yang baharu dipinda pada tahun 2016 memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM20,000 bagi kesalahan tersebut.

”Namun Akta yang dipinda dan dinaikkan hukuman masih belum menggerunkan kerana masih terdapat individu seperti ini yang kelakuan biadap seperti ini,” kata Ahli Parlimen Belia dalam satu kenyataan di sini.

Justeru Ahli Parlimen Belia Malaysia mendesak penulis, penyunting dan penerbit buku ini disiasat dan tindakan tegas diambil oleh Polis Diraja Malaysia jika benar wujudnya unsur dan motif yang jelas suatu penghinaan terhadap lambang rasmi kerajaan Malaysia.

Ahli Parlimen Belia Malaysia juga minta Kementerian Dalam Negeri segera mengambil langkah menggantung penerbitan dan pengedaran buku ini. – MalaysiaGazette

Kulit buku persenda Jata Negara