Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang berada di Singapura tidak perlu lagi memohon permit MyPass dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia untuk pulang ke negara ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP telah bersetuju untuk membenarkan mereka pulang.

Sebelum ini katanya, sepanjang tempoh pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) dan Pemulihan (PKPP), kerajaan menetapkan setiap mereka perlu memohon permit MyPass dengan beberapa syarat tertentu untuk membenarkan mereka pulang.

“Begitu juga dengan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Padang Besar, Perlis serta Durian Burung di Kedah, telah dibenarkan beroperasi.

“Tetapi, urusan hanya untuk kenderaan perdagangan komersial dan kargo sahaja,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menjelaskan, agensi yang terlibat dengan operasi itu telah dimaklumkan mengenai keputusan kerajaan untuk tindakan seterusnya.

Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata, sebanyak 67 sekatan jalan raya Operasi Benteng diadakan di seluruh negara, dengan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan kerana kesalahan imigresen.

Katanya, operasi itu diadakan berikutan langkah kerajaan mengetatkan kawalan sempadan Malaysia daripada dibolosi PATI yang cuba memasuki negara ini menerusi lorong tikus.

“Operasi Benteng ini melibatkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

“Kawalan diadakan secara bersepadu bagi mengekang jenayah rentas sempadan oleh Pati, selain menyekat penularan wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan terutama di lorong tikus.

Berhubung kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKPP, kata beliau, seramai 39 individu ditahan, dengan tiga darinya direman dan 36 lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan direkodkan ialah aktiviti pub atau kelab malam lima orang, aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (14 individu) dan aktiviti yang melanggar SOP (20 individu).

“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis juga telah membuat 67,047 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast