BANGKOK- Selepas tiada kes penularan tempatan direkodkan selama lima minggu berturut-turut, Thailand merancang untuk membenarkan sesetengah pengunjung ke negara tersebut termasuklah pelancong perubatan dari China bagi menyelamatkan industri pelancongan mereka.

Butiran terperinci mengenainya dijangka dikeluarkan minggu ini selepas cadangan gelembung pelancongan dibincangkan di mesyuarat Kabinet semalam.

Thailand telah menghalang penerbangan antarabangsa sejak bulan April lalu tetapi berhasrat untuk membenarkan 50,000 warga negara asing termasuk yang memiliki permit kerja, pemastautin serta keluarga mereka berada di negara berkenaan selepas dikuarantin wajib selama 14 hari.

Kira-kira 30,000 pelancong perubatan asing yang mahu melakukan pembedahan plastik dan rawatan kesuburan dijangka tiba, kata jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, Taweesilp Visanuyothin.

Pelancong perniagaan dari Jepun, Korea Selatan, Singapura, China dan Hong Kong mungkin dikecualikan daripada kuarantin 14 hari jika memiliki sijil bebas Covid-19 dan disaring semasa ketibaan.

Thailand juga membenarkan pub, bar dan karaoke dibuka semula sehingga tengah malam bermula esok, asalkan mereka mematuhi garis panduan keselamatan seperti memastikan jarak dua meter di antara meja dan sebagainya.- MalaysiaGazette