Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed serta yang lain menunjukkan dadah jenis ganja bernilai RM265,365 yang berjaya dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor dalam satu serbuan di Puchong, 27 Jun lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2020

SERDANG – Polis menahan tiga lelaki dan dua wanita serta merampas 148 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja seberat 146.55 kilogram bernilai RM265,365 hasil serbuan di dua lokasi di Puchong baru-baru ini.

Dalam serbuan 12.01 tengah malam itu, lima suspek berusia 29 hingga 49 tahun terbabit ditahan oleh sepasukan pegawai serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Kontinjen Selangor di Bandar Puchong Jaya dan Bandar 16 Sierra.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, hasil pemeriksaan terhadap kereta Toyota Wish, Peugeot dan Proton Wira dinaiki suspek menemui 50 ketulan ketulan ganja.

“Susulan itu, pihak polis menahan suspek untuk tindakan lanjut dan hasil penahanan itu polis turut menyita barangan bernilai RM60,000 termasuk wang tunai berjumlah RM20,000 termasuk dua kereta bernilai RM40,000.

“Hasil siasatan mendapati, suspek terbabit dalam kegiatan pengedaran sejak awal tahun ini dan ganja terbabit diperoleh dari negara jiran melalui Pantai Timur.

“Ganja terbabit disyaki untuk pasaran tempatan sekitar Lembah Klang dan jumlah rampasan itu mampu dibekalkan kepada 146.55 juta penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hari ini.

Arjunaidi berkata, semakan dilakukan terhadap empat suspek terbabit mendapati mereka mempunyai rekod lampau iaitu kes dadah dan jenayah.

“Lima suspek terbabit kini direman selama lima hari untuk siasatan mengikut Sekysen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi. – MalaysiaGazette