KUALA LUMPUR – Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi menafikan telah melakukan ‘perjanjian’ tertentu bagi memastikan beliau mendapatkan imuniti daripada pertuduhan jenayah dengan pasukan pendakwaan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Ketua Eksekutif 1MDB tampil menjadi saksi kesembilan memberi keterangan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang berhadapan dengan penyewelengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB.

Malah ketika diasak pasukan pembelaan, Shahrol turut menafikan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa beliau terlibat dalam perjanjian bersama pendakwa raya bagi mengelakkan daripada didakwa dengan memberi keterangan terhadap Najib.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan Najib melahirkan rasa hairan bagaimana 1MDB tidak menyaman Shahrol atas alasan cuai.

Beliau merujuk kepada laporan berita yang memperincikan bagaimana BSI Bank yang berpengkalan di Singapura dilantik untuk menstruktur semula pegangan saham 1MDB dalam PetroSaudi Oil Services Ltd pada pertengahan 2012.

Difahamkan bekas pegawai perancang pengurusan harta BSI Bank, Yeo Jiawei bersama penyelianya, Kevin Swampillai berjaya mengaut keuntungan besar.

Bagaimanapun Jiawei didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 54 bulan pada 2017.

Ketika disoal balas, Shahrol mendakwa, kedua-dua mereka telah menipu BSI Bank dengan menjana untung secara rahsia dan Kevin sendiri telah menjana untung bersama-sama Jiawei.

Peguambela Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shafee Abdullah. foto AFFAN FAUZI, 03 FEBRUARI 2020.

Shafee: Adakah kamu bersetuju kamu sudah membuat perjanjian dengan pendakwa supaya elak diri untuk didakwa? Kevin Swamipillai juga begitu.

Shahrol: Tidak betul.

Shafee: Saya hendak tanya kamu, adakah 1MDB pernah saman kamu kerana cuai?

Shahrol: Tidak.

Shafee: Jadi bolehlah saya katakan sebenarnya ada perjanjian. Yang kamu akan selamat dengan menuduh menunjukkan anak guam saya, bukan begitu?

Shahrol: Tidak benar sama sekali.

Najib sedang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama. – MalaysiaGazette