KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan bersedia membuka pintu kepada peniaga dan penjaja untuk mendapatkan kemudahan seperti lesen dan lokasi sesuai di ibu kota.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa mahu menggunakan pendekatan sedia berunding sebagai usaha memastikan golongan itu menjalankan aktiviti perniagaan secara tersusun.
Beliau juga telah memaklumkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya permudahkan pengeluaran lesen dan berusaha supaya peniaga dan penjaja yang tulen sahaja berniaga tanpa wujud kartel yang memberi keuntungan sebelah pihak.
“Bagaimanapun, mereka perlu ingat, pemberian lesen bukan bermakna mereka bebas atau boleh buat apa sahaja.
“Mereka perlu mematuhi peraturan dan pra syarat ditetapkan DBKL seperti penjagaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Selain itu, SOP DBKL pun mereka perlu patuh seperti kebersihan, susun atur gerai, kesihatan, memakai apron, sarung tangan dan kebersihan,” katany selepas menyampaikan sendiri lesen sementara kepada 97 penjaja di Jalan Taman Setapak Indah hari ini.
Kata Annuar, dalam tinjauannya ke kawasan itu hampir dua minggu lalu, beliau mendengar masalah dibangkitkan peniaga dan bersetuju memproses lesen sementara kepada mereka.
Bagaimanapun, selepas mendengar janji itu, ramai lagi peniaga kecil memohon dan dalam penyampaiannya hari ini, seramai 97 penjaja mendapat lesen sementara.
“Kira-kira 10 hari lalu saya datang ke sini, saya puas hati dengan aktiviti perniagaan yang kebanyakan mereka belum ada lesen. Ada peniaga sudah lama berniaga dan ada yang baharu memulakan selepas PKP.
“Tak apalah, sebab mereka hendak cari rezeki dan DBKL permudahkan pemberian lesen sementara ini untuk tempoh tiga hingga enam bulan.
“Saya harap tidak wujud kartel yang akan ambil kesempatan ini sehingga penjaja terpaksa membayar lebih untuk lesen mereka. Kita hanya kenakan pembayaran token atau yuran RM20 sahaja sebulan,” katanya.
Jelasnya, beliau mendapat tahu, ada peniaga dan penjaja menjual beribu ringgit tapak niaga termasuk lesen kepada pihak lain dan perbuatan itu tidak baik.
“Kita harap penjaja memberi kerjasama. Jangan salahgunakan apa yang kita permudahkan untuk mereka. Kita buat ini kerana hendak beri peluang kepada mereka mencari rezeki.
“Saya telah mengarahkan DBKL supaya menyelaraskan beberapa perkara asas di lokasi berkenaan seperti menyediakan khemah supaya seragam, petak tapak supaya tersusun dan menetapkan sesi perniagaan kepada mereka.
“Sesi waktu ini penting bagi menggelak kawasan ini sesak sehingga mengganggu pengguna jalan raya, seperti sesi pagi berapa peniaga yang berniaga, begitulah pada sesi petang dan sesi malam,” ujarnya.
Kata Annuar, penjaja di Taman Setapak Indah adalah yang pertama diberi kelonggaran oleh kementeriannya dalam jumlah pemohon yang ramai.
Beliau turut mengingatkan penjaja, apa yang disediakan oleh kementerian tidak boleh dianggap percuma, sebaliknya jika ada perkara berbangkit perlu jumpa DBKL untuk berunding.
“Saya ambil sikap terbuka untuk berunding, jangan pandai-pandai buka gerai di tempat yang mengundang masalah kepada pengguna lain hingga berlaku kesesakan.
“Kalau tempat itu sesuai, datang runding dengan DBKL, kita datang tengok dan kalau elok, kita bagi mereka berniaga dan buat lesen.
“Ini selaras dengan konsep Wilayah Prihatin. Kita cari jalan bagaimana hendak permudahkan mereka berniaga,” katanya. – MalaysiaGazette