Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hadir ke sidang media harian berkenaan Covid-19 di Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 24 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Perkembangan terkini  berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menyaksikan tiada pertambahan kematian akibat Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, ketiga-tiga kes positif baharu yang dilaporkan melibatkan satu kes import dan dua lagi dalam kalangan bukan warganegara.

“Satu kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Satu kes daripada Kluster Bukit Bintang manakala satu lagi kes di Sabah yang baru masuk ke lokap di Kota Kinabalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu 62 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif adalah 8,437 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah kurang daripada 100 kes, iaitu 85 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya lagi.

Sehingga kini, terdapat dua kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi. Kedua-dua kes tersebut memerlukan bantuan pernafasan.-MalaysiaGazette