Menteri Komunikasi, Saifuddin Abdullah. Foto Mohd Adzlan, 17 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia komited untuk membantu menyediakan peluang pekerjaan dalam industri kreatif selepas terjejas selama tiga bulan gara-gara wabak koronavirus (Covid-19).

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya akan melaksanakan beberapa inisiatif menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi membantu kelangsungan ekonomi dan sara hidup pekerja industri terutamanya 80 peratus melibatkan mereka di belakang tabir.

Jelas beliau, dalam tempoh enam bulan akan datang, bukan jumlah filem dan drama diutamakan namun jumlah jam penggambaran yang lebih agar banyak peluang pekerjaan diwujudkan.

“Industri filem dan drama ini sebenarnya melibatkan jaringan yang panjang dalam satu produksi.

“Bukan hanya penerbit, pelakon dan penulis skrip tetapi 80 peratus adalah mereka di belakang tadbir termasuk penyewa kenderaan dan mereka yang menyediakan makanan ketika penggambaran.

“Untuk enam bulan ini, kementerian akan membantu mereka yang telah terjejas selama tiga bulan sebelum ini bagi menyediakan pendapatan buat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan kerja di TGV Cinema di Sunway Velocity Mall di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin menyeru peminat filem atau kaki wayang datang menonton filem di pawagam kembali beroperasi sejak 1 Julai lalu.

Ini kerana jelas beliau, pihak pemamer telah mengambil Prosuder Standard Operasi (SOP) yang ketat bagi menjamin kesihatan dan keselamatan penonton.

“Penonton perlu datang kerana filem sudah ditayangkan. Tiada guna dibuka semula pawagam kerana pemamer sudah (tidak) menitikberat keselamatan dan kesihatan penonton.

“Seperti kedai lain yang telah dibuka dan pelanggan tidak datang membeli-belah.

“Jadi penonton tidak untung, pemamer pun tidak untung dan FINAS pun pening hendak beri geran nanti.

“Anggaplah kita saling membantu seperti mana rakan kita membuka kedai makan dan kita datang makan untuk menyokongnya,” katanya.

Sejak 1 Julai lalu, pawagam dibuka semula selepas hampir empat bulan ditutup kerana arahan Perintah Kawalan Pergerakan. – MalaysiaGazette