Seorang pengunjung melihat wang dan syiling palsu ketika melawat pameran pada Majlis Perasmian Penutup Persidangan Kebangsaan Jenayah Komersil : Ancaman dan Pendekatan Teknologi Siber 2019 di UM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 NOVEMBER 2019

PUSAT Bantuan Cyber999 dilaporkan menerima sebanyak 3,906 aduan dalam tempoh
18 Mac hingga 30 Jun tahun ini ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan
(PKP), meningkat lebih 90% berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Pusat
Bantuan Cyber999 kendalian MyCERT di bawah CyberSecurity Malaysia ini
berperanan memberikan tindak balas kecemasan mengenai hal berkaitan
keselamatan komputer seperti gangguan siber, perisian hasad, pencerobohan,
cubaan penggodaman dan pelanggaran keselamatan maklumat lain. Statistik ini
mendedahkan betapa tigginya ancaman dan risiko jenayah siber yang sedang
dihadapi oleh pengguna. Jadi di samping berharap perlindungan dari agensi kerajaan
yang terlibat, kita sebagai pengguna juga wajar menjaga serta melindungi diri dan
keluarga masing-masing dari ancaman jenayah siber ini.

Berdasarkan laporan aduan tersebut, kes yang dilaporkan adalah termasuk gangguan
siber, penipuan, pencerobohan, percubaan pencerobohan dan spam, yang
kebanyakannya berlaku di kawasan bandar yang mempunyai kelajuan internet yang
tinggi ketika PKP. Ini juga sekali gus menunjukkan penjenayah siber menyasarkan
penduduk di kawasan bandar sebagai golongan sasaran utama. Ironinya jenayah
siber ini tidak mengenal latar belakang mangsa sama ada dari segi bangsa, agama mahupun kelayakaan akademik serta kedudukan sosio ekonomi mereka. Penjenayah kebiasaannya akan mencuba nasib mereka secara rawak dan pengguna yang mudah tertipu atau terlalu mudah mempercayai orang lain akan menjadi mangsa mereka.

Boleh dikatakan hampir setiap hari kita didedahkan dengan pelbagai kes jenayah
siber yang membabitkan kerugian kepada mangsa berjuta ringgit. Kelalaian dan
kecuaian kita dalam mendedahkan maklumat dan data peribadi kepada orang lain
terutamanya orang yang baru dikenali akhirnya memakan diri dan merugikan kita
sendiri. Sedarlah kes pencurian data peribadi melalui penipuan, pencerobohan dan
spam semakin berleluasa dan cukup membimbangkan.

Oleh itu setiap anggota masyarakat perlu sedar tentang ancaman jenayah siber ini
yang dilihat semakin serius. Sedarlah para penjenayah yang berjaya memperdaya
kita dan mendapatkan pelbagai data dan maklumat peribadi kita boleh melakukan
apa saja untuk meraih keuntungan kepada mereka. Akibatnya kelak kita yang akan
merana dan menerima kesan yang amat dasyat.

Justeru mahu tidak mahu kita perlu sedar dan memikul tanggungjawab untuk
melindungi diri dan keluarga kita dari penjenayah siber ini. Usah meletakkan
tanggungjawab itu di bahu pihak berkuasa semata-mata kerana dalam kebanyakkan
kes pihak berkuasa hanya dapat maklumat selepas sesuatu penipuan itu telah
berlaku di mana pada ketika itu penjenayah yang terlibat sudahpun menghilangkan
diri dan sukar untuk pihak berkuasa mencari dan menangkapnya.

Jadi kita perlu cakna dan ambil tahu tentang aspek keselamatan siber ketika
menggunakan internet supaya dapat melindungi diri dan keluarga. Dalam konteks
ini, antara nasihat pihak berkuasa yang wajar dipatuhi oleh kita semua ialah, elak
mendedahkan kata laluan kepada orang lain termasuk orang yang dikenali kerana
kita tidak tahu siapa akan mengambil kesempatan. Untuk keselamatan yang lebih

baik, gunakan kata laluan yang kreatif misalnya menggabungkan huruf, nombor dan
simbol supaya orang lain tidak mudah mengesannya.

Kita juga perlu memastikan komputer baik di pejabat mahupun di rumah serta gajet
lain sentiasa dilengkapi dengan perisian keselamatan seperti anti-virus dan anti-
spyware yang terkini. Gunakanlah perisian yang tulen dan elak daripada
menggunakan perisian keselamatan yang telah tamat tempoh. Jangan kerana mahu
berjimat akhirnya kita mengalami kerugian yang besar kerana penjenayah akan
mudah menebusi peranti yang tiada perisian keselamatan.

Kita juga perlu lebih berhati-hati ketika membuka dan melayari pelbagai kandungan
dalam internet. Misalnya elak daripada terus mempercayai kandungan laman web,
blog dan e-mel yang diragui atau daripada orang yang tidak dikenali sebaliknya perlu
biasakan budaya dan cara kerja semak dan rujuk kepada sumber-sumber yang sahih.

Pada masa yang sama gunakanlah internet dan media sosial secara beretika. Antara
langkah yang perlu diambil ialah, pastikan alamat e-mel dan kata laluan rasmi tidak
digunakan dalam akaun peribadi media sosial, keluar (log out) daripada akaun media
sosial apabila tidak digunakan lagi, elak daripada berkongsi maklumat peribadi dan
maklumat berkaitan tugas rasmi di internet dan media sosial serta elak daripada
menggunakan wi-fi umum yang tidak diketahui tahap keselamatannya.

Secara prinsipnya kita perlu melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan
pengetahuan yang lebih baik supaya tidak menjadi mangsa jenayah siber.
Tuntasnya, sentiasa waspada dengan ancaman jenayah siber, fikir dulu sebelum klik
e-mel, pautan atau lampiran yang mencurigakan dan segera laporkan kepada pihak
berkuasa jika ada sebarang insiden kebocoran maklumat atau ada ancaman siber
dari mana-mana pihak yang diragui atau tidak dikenali.

Noor Mohamad  Shakil Hameed
Pembaca MalaysiaGazette dan Penganalisis Isu Semasa