JAKARTA – Garuda Indonesia merekodkan kerugian bersih AS$120 juta (RM514.50 juta) pada suku pertama tahun ini berbanding keuntungan bersih AS$20.48 juta (RM87.81 juta) yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu disebabkan wabak Covid-19.

Syarikat penerbangan nasional itu menyaksikan perolehan menjunam sebanyak 30 peratus berbanding tahun lepas kepada AS$768.12 juta pada suku pertama tahun ini berbanding AS$1.1 bilion pada tempoh sama tahun lepas.

“Industri ini adalah sebuah industri yang sukar.

“Kita bercakap mengenai margin keuntungan satu digit. Jadi, apabila ada gangguan, implikasi kepada keuntungan dan tunai adalah sangat cepat dan drastik,” kata Pengarah Presiden Garuda Indonesia, Irfan Setiaputra semasa webinar Forum Jenama Indonesia Investure.

Operasi yang paling banyak menjana pendapatan kepada syarikat iaitu perkhidmatan penerbangan berjadual mencatatkan penurunan sebanyak 29.23 peratus atau AS$924.93 juta pada suku pertama kepada AS$654.53 juta.

Perbelanjaan syarikat yang lain bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang penyusutan ketara.

Daripada segi perbelanjaan operasi keseluruhan termasuk kos operasi penerbangan, penyelenggaraan dan pembaikan jatuh sebanyak 9.92 peratus kepada AS$945.71 juta berbanding AS$1.05 bilion sebelumnya.

Tambah Irfan, walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam trafik udara sejak beberapa minggu lalu susulan kelonggaran sekatan perjalanan, jumlah penumpang masih rendah iaitu kira-kira 10 peratus manakala sebanyak 70 peratus pesawat masih tidak beroperasi. – Agensi