Calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain bersalaman dengan sebahagian penyokong selepas diumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri Chini yang baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Command Centre BN, Paloh Hinai, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 04 JULAI 2020

CHINI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini yang baharu, Mohd Sharim Md Zain akan mengotakan janji-janji untuk menjadi suara kepada masyarakat Chini.

Beliau yang diumumkan pemenang DUN Chini berkata suara masyarakat Chini akan menjadi fokus utama beliau yang kini menjadi wakil rakyat rasmi menggantikan allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

“Misi saya melihat kepada suara dan hasrat masyarakat Chini menjadi matlamat utama saya untuk saya membawa perkara ini untuk diketengahkan.

“Saya yakin di belakang saya ada ramai pemimpin BN pastinya akan dapat dibantu dan diberikan perhatian berkaitan masalah masyarakat Chini,” katanya di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan.

BN menang besar dalam PRK DUN Chini mengalahkan dua calon bebas.

Mohd Sharim daripada BN meraih 13,872 undi daripada keseluruhan 15,231 pemilih berdaftar yang keluar mengundi di kerusi DUN itu hari ini.

Mohd Sharim dalam pada itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mengundi dan memenangkan beliau terutamanya anak perantau yang pulang untuk mengundi.

“Saya lahirkan ucapan terima kasih kepada semua pengundi dan warga Chini, masyarakat Felda, kampung tradisional, dan masyarakat orang Asli termasuk anak perantau yang balik mengundi saya.

“Saya ucapkan terima kasih atas kepercayaan Najib, Ahmad Zahid dan Wan Rosdy kepada saya sebagai calon.

“Saya zahirkan juga terima kasih kepada semua jentera BN dan juga kepada Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional yang telah membantu di Chini,” katanya lagi.

Dalam PRK hari ini, calon BN Mohd Sahrim Md Zain mengalahkan 2 calon Bebas dengan majoriti 12,650 undi.

Beliau memperoleh 13,872 undi, mengatasi Tengku zainul Hisham Tengku Husin yang mendapat 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli (137). – MalaysiaGazette