CHINI – Calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini, Mohd Shukri Mohd Ramli mengucapkan tahniah kepada pesaingnya, calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain.

Dalam satu kenyataan, Mohd Shukri yang mengguna pakai nama CMK (Cucu Mat Kilau) berkata, kegagalan beliau dalam PRK kali ini bukan titik nokhtah dalam karier politiknya.

“Terima kasih semua sahabat, saya gagal untuk menyelamatkan alam sekitar di Chini.

“Rakyat memilih parti dan belum termasuk jentera dan dana besar yang di hantar ke DUN CHINI,” katanya hari ini.

Secara tidak rasmi, Mohd Sharim mengalahkan dua calon bebas iaitu Mohd Shukri dan Tengku Datuk Zainul Abidin Tengku Hussin dalam pertembungan tiga penjuru di PRK DUN Chini, hari ini.

Mohd Shukri menerima 120 undi dan Zainul Hisham meraih 1,063 undi.

Ia setakat pengiraan undi bagi 60 daripada 67 peti undi dari 13 pusat pengundian yang tutup pada jam 5.30 petang tadi.

Mohd Sharim pula ketika ini memperoleh 12,406 undi setakat ini. – MalaysiaGazette