Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR- Kes terbaharu Covid-19 di dalam negara kembali menjadi satu angka selepas 10 kes positif dilaporkan setakat semalam.

Setakat 12 tengahari ini, sebanyak lima kes baharu positif Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam perkembangan terbaharu jangkitan pandemik berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekaligus menjadikan kumulatif jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 adalah sebanyak 8,663 kes.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 77 kes dan mereka diasingkan dan diberi rawatan.

“Ingin dimaklumkan daripada lima kes baharu yang dilaporkan KKM, tiga adalah adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

“Manakala dua lagi kes penularan Covid-19 terbaharu yang dilaporkan di dalam negara hari ini adalah dalam kalangan warganegara Malaysia iaitu kes-kes saringan pra pembedahan di Hospital Queen Elizabeth, Sabah dan di sebuah pusat perubatan di Seremban, Negeri Sembilan.

“Tiada penularan dalam negara di kalangan bukan warganegara dilaporkan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, terdapat empat kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini sekaligus jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,465 kes (97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga kini terdapat dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kedua-dua kes itu memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 yang dilaporkan KKM pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” tegas beliau.-MalaysiaGazette.