Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – AirAsia Group Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM803.85 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2020, berbanding keuntungan bersih RM96.09 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, meskipun cabaran besar dalam industri penerbangan, kumpulan itu mencatatkan pulang modal pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (RM29,000) berikutan pengurusan kos dan kapasiti yang proaktif, ditambah dengan prestasi kukuh daripada perniagaan bukan penerbangan.

Kerugian kumpulan disebabkan terutamanya kerugian nilai saksama bagi derivatif berjumlah RM270.1 juta, kerugian penyelesaian lindung nilai bahan api sebanyak RM110.0 juta dan susut nilai tambahan serta faedah liabiliti pajakan bagi mengendalikan pesawat pajakan, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Sementara itu, hasilnya susut kepada RM2.31 bilion daripada RM2.73 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

AirAsia dalam satu kenyataan hari ini berkata meskipun ia bermula tahun ini dengan prestasi kukuh pada Januari 2020, penularan COVID-19 serta peningkatan sekatan perjalanan dan kawalan sempadan disebabkan pandemik itu telah menyebabkan kemerosotan permintaan perjalanan udara pada Februari dan Mac.

“Penurunan kerusi tersedia bagi setiap kilometer (ASK) sebanyak 19 peratus adalah disebabkan terutamanya pengurusan kapasiti proaktif bagi mengurangkan impak tersebut.

“Bagi suku tersebut, hasil sampingan juga susut sebanyak 16 peratus tahun ke tahun kepada RM556 juta berikutan penurunan hasil sampingan syarikat penerbangan yang jatuh 28 peratus terutamanya disebabkan penghapusan fi pemprosesan dan jumlah penumpang yang dibawa kurang daripada 22 peratus. Hasil sampingan bukan penerbangan meningkat 27 peratus tahun ke tahun,” kata syarikat penerbangan itu.

Presiden Kumpulan AirAsia (penerbangan) Bo Lingam berkata syarikat penerbangan itu telah memulakan semula operasinya secara berfasa bagi setiap pasaran dan buat masa ini ia menumpukan kepada pasaran domestik sebelum membuka ke pasaran ASEAN dan seterusnya ke pasaran Asia apabila sempadan mula dibuka semula.

Beliau berkata sejak bermulanya operasi domestik pada lewat April, syarikat penerbangan itu mendapat rangsangan daripada peningkatan faktor muatan minggu demi minggu, dan ia menyasar menambah kekerapan penerbangan kepada kira-kira 50 peratus.

Ketika ini, syarikat penerbangan itu mengendalikan 191 penerbangan harian di seluruh rantau ini.

Mengenai prospek kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan itu mengambil kesempatan daripada krisis tersebut untuk menyusun semula kumpulan yang mana telah membawa hasil positif apabila berjaya mengurangkan perbelanjaan tunai sebanyak sekurang-kurangya 50 peratus tahun ini.

“Mengenai operasi syarikat penerbangan, kami mendapat dorongan daripada permintaan yang kembali kukuh sejak operasi disambung semula pada lewat April 2020 dan kami menjangkakan ini akan berterusan dalam bulan-bulan yang akan datang. Produk inovatif kami, AirAsia Unlimited Pass, habis terjual dengan pantas. Ini memberikan prospek yang baik bagi kami untuk bersaing pasca Covid-19.

“Perjanjian jualan dan pajakan balik memberi manfaat dalam situasi sekarang, kerana pajakan menyediakan ruang dan keanjalan bagi merundingkan semula kontrak dengan pembekal dan penyewa kami yang begitu menyokong,” katanya.

Selain itu, katanya, kumpulan itu juga melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan modal kerja yang mencukupi semasa tempoh mencabar ini seperti mendapatkan penangguhan pembayaran daripada pembekal dan pemberi pinjaman, menyusun semula sebahagian besar lindung nilai bahan api serta meningkatkan mudah tunainya dengan memohon pinjaman bank di negara-negara yang ia beroperasi.- BERNAMA