Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR- Agensi berita Al Jazeera perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana menerbitkan sebuah dokumentari yang mengelirukan, berniat jahat dan membuta-tuli.

Tegas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Al Jazeera perlu menghentikan siaran dokumentari bertajuk Locked Up in Malaysia’s Lockdown itu kerana ia tidak bersandarkan fakta yang tepat dan dilaporkan secara tidak beretika.

“Mereka mengatakan kita rasis dan tidak adil kepada PATI kerana mereka dikurung, sebenarnya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bukan hanya melibatkan kawasan Selangor Mansion sahaja.

“Kita melaksanakan PKPD di banyak kawasan lain seperti madrasah tahfiz, kampung-kampung di Hulu Langat dan sebagainya yang menyaksikan penduduk di kawasan terbabit dikurung bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Malah di Selangor Mansion sendiri, bukan pendatang asing tanpa izin (PATI) sahaja yang dikurung tetapi rakyat Malaysia dan pekerja asing yang mempunyai dokumen sah juga dikurung di bawah PKPD,” katanya lagi.

Beliau turut menyangkal tuduhan Al Jazeera yang mengatakan kanak-kanak digari semasa operasi besar-besaran untuk menangkap PATI diadakan.

“Kanak-kanak tidak pernah digari malah mereka ditempatkan bersama ibu bapa mereka di satu tempat yang khusus di depot tahanan, mereka tidak dicampurkan dengan tahanan-tahanan lain.

“Ini fakta sebenar tetapi Al Jazeera rasanya tidak mahu tahu fakta sebenar seperti ini kerana mereka mempunyai niat yang tidak baik dalam laporan tersebut.

“Sekarang mereka sudah tutup bahagian komen di video tersebut” katanya lagi.

Dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat itu disiarkan di saluran rasmi YouTube Al Jazeera English kelmarin.

Laporan yang menuduh Malaysia rasis dan tidak memberi layanan kepada PATI semasa kerajaan berusaha membendung pandemik Covid-19 telah menimbulkan kemarahan rakyat.- MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Wartawan2 tempatan termasuk bernama perlu buat liputan al jazeera pula dan dedahkan pengliputan2 mereka yang salah dan berunsur niat jahat. Sebarkan di media sosial dan lakukan juga kepada agensi2 yang jelas berniat jahat.

Comments are closed.