Status terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 06 JULAI 2020

PUTRAJAYA – Rakyat di negara ini diseru supaya tidak bersikap ambil mudah dalam isu penularan virus Covid-19 yang masih belum dicegah sepenuhnya walaupun kes harian menunjukkan satu angka bawah 10 kes sejak kebelakangan ini.

Malah masyarakat diingatkan supaya mengambil iktibar terhadap penularan semula Covid-19 di negara lain setelah sekatan pergerakan rakyatnya dilonggarkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebaik syarat sekatan dilonggarkan, rakyat di sesetengah negara gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sehingga mengakibatkan jangkitan kembali semula.

“Maka adalah penting untuk semua pihak mencegah jangkitan dan menghentikan penularan Covid-19. Kita perlu mengambil iktibar daripada situasi di Victoria, Australia yang membuat pengumuman untuk menutup 55 laluan masuk di sempadan negeri itu dengan New South Wales (NSW) selepas kes Covid-19 kembali meningkat di sana.

“Ini susulan daripada jangkitan virus itu kembali menular di beberapa bandar utama kerana berlaku pelanggaran SOP oleh penduduk mereka yang pulang dari luar negara di pusat-pusat kuarantin,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Noor Hisham, kadar kebolehjangkitan di dalam negara adalah 71 kes manakala kes jangkitan baharu harian juga berkurangan menjadi satu angka sejak akhir-akhir ini.

Kesemua kes itu sudah diasingkan dan jika tiada kes baharu selama dua minggu terakhir ini dan 71 kes aktif terbabit akan mulai berkurangan.

“Oleh demikian adalah tidak mustahil untuk kita menurunkan jumlah kes dengan syarat semua pihak mematuhi SOP dengan serius dan ini satu petunjuk baik untuk kita yang mana kebolehjangkitan pesakit berkurangan dalam komuniti.

“Kita sedar virus ini sudah berada dalam komuniti tetapi apa yang lebih penting ialah untuk mencegah jangkitan dan memutuskan penularan Covid-19 yang mana ia hanya boleh direalisasikan dengan masyarakat terus mematuhi SOP yang dirangka KKM,” tegas beliau.- MalaysiaGazette