Seramai enam orang pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini telah disahkan bebas dari sebarang jangkitan Covid-19.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seramai enam orang pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini telah disahkan bebas dari sebarang jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mereka yang sebelum ini telah dibenarkan melaksanakan tanggungjawab mengundi di khemah rawatan pada hari mengundi Sabtu lalu disahkan bebas dari jangkitan pandemik.

Katanya, keputusan itu diperoleh selepas siasatan dijalankan terhadap kesemua pengundi terbabit yang pada awalnya disyaki mempunyai gejala Covid-19.

“Kita mempunyai enam pesakit dengan simptom batuk dan selesema dan kami sudah asingkan mereka.

“Mereka dapat mengundi juga akhirnya. Kami menjalankan siasatan terhadap mereka dan setakat ini tiada seorang pun yang positif Covid-19,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu dalam kenyataan pada hari mengundi 4 Julai lalu, Noor Hisham, melaporkan enam pengundi di PRK Chini dibenarkan melaksanakan tanggungjawab mereka di khemah rawatan di pusat mengundi selepas didapati bergejala.-MalaysiaGazette