Foto hiasan

PUTRAJAYA – Sebanyak lima kes baharu positif Covid-19 dilaporkan setakat jam 12 tengahari ini manakala sebanyak 11 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Berikutan itu jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 71 kes dan tiada kematian dilaporkan, dengan jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 121 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jumlah kes positif di negara ini adalah sebanyak 8,668 kes dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,476 kes  atau 97.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 06 JULAI 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada lima kes baharu yang dilaporkan sebanyak tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Ia membabitkan dua warganegara Malaysia dan seorang bukan warganegara iaitu pemastautin tetap, tambah beliau.

“Manakaka dua kes penularan di dalam negara pula melibatkan satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu kes bukan warganegara iaitu saringan di dalam komuniti oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

“Kes kedua adalah dilaporkan di Selangor iaitu satu kes warganegara Malaysia iaitu saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8649). Kes baharu ini merupakan ahli keluarga kepada kes ke-8649,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini ini.

Menurut Noor Hisham, sehingga kini terdapat dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kedua-dua kes tersebut memerlukan bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette