Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri diiringi Pegasas Virtual Halal School, Amir Hamzah Md Isa (kanan) menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Virtual Halal School di Menara Arina-UNITI, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 06 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Program perkongsian ilmu serta percambahan idea oleh pakar-pakar dalam industri halal iaitu Virtual Halal Summer Camp (VHSC) 2020 berjaya menarik kira-kira 300 penyertaan.

VHSC 2020 itu dianjurkan oleh Virtual Halal School itu bermula hari ini sehingga 31 Oktober ini merupakan inisiatif
pembelajaran halal secara maya yang dimiliki dan dikendalikan oleh Pusat Kecemerlangan Halal Kolej UNITI (UHAC) iaitu organisasi pendidikan yang berpengalaman luas dalam pendidikan tinggi dan latihan profesional berkaitan halal.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson yang juga Pengasas Virtual Halal School, Amir Hamzah Md. Isa berkata, program itu akan melibatkan ahli akademik, pengamal industri serta mereka yang berpengalaman dan terlibat langsung dalam pembangunan industri halal negara.

“Bertemakan Memahami Halal dalam Industri dan Kehidupan, VHSC 2020 melibatkan sesi pembelajaran interaktif secara maya yang dilaksanakan mengikut keselesaan peserta dan setiap kuliah boleh diikuti melalui telefon bimbit atau komputer peribadi di mana-mana sahaja.

“Pembelajaran secara kendiri melalui platform E-Learning ini juga
membolehkan peserta mendalami setiap topik yang disusun mengikut kesesuaian masa dan keselesaan peserta,” katanya.

Pegasas Virtual Halal School, Amir Hamzah Md Isa berucap pada Majlis Pelancaran Virtual Halal School di Menara Arina-UNITI, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 06 JULAI 2020.

Majlis pelancaran Virtual Halal School  itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Studio Virtual Halal School di Menara Arina-UNITI di sini hari ini.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, program sulung Virtual Halal School itu melibatkan 17 tenaga pakar yang akan membincangkan pelbagai aspek berkaitan industri halal mengikut kepakaran masing-masing.

Jelas beliau, sebanyak 20 sesi kuliah pelbagai topik telah disusun dan pada setiap sesi kuliah berdurasi 45 minit hingga sejam, peserta boleh berinteraksi dan bertanya persoalan kepada tenaga pengajar yang terlibat dan ke semua soalan akan dijawab sepenuhnya.

“Sesi-sesi kuliah ini juga akan memperincikan isu dan kepentingan industri halal tempatan dan antarabangsa.

“Lebih menarik, jika peserta terlepas mana-mana sesi kuliah, mereka boleh mengikuti ulang siar semula sepanjang 24 jam selama 4 bulan atau 120 hari,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Virtual Halal School dan VHSC 2020, orang ramai boleh melayarii Facebook Virtual Halal School atau menghubungi talian 03-4010 8315. – MalaysiaGazette