Shahril Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan yang mengumumkan fasa menaik taraf perkhidmatan bekalan air di Kelantan secara berperingkat diyakini merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Malah, langkah-langkah yang diambil bersifat secara keseluruhan dengan penyelesaian isu pengurusan dan infrastruktur untuk menampung keperluan bekalan air di negeri itu untuk tempoh 30 hingga 40 tahun akan datang, kata Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Shahir Adnan.

Beliau berkata, rakyat di Kelantan akhirnya tidak lagi dianaktirikan di bawah dasar prihatin dan keterbukaan Kerajaan dibawah pimpinan Perikatan Nasional.

“Rakyat di Kelantan akhirnya mendapat berita baik apabila Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang melawat Kelantan baru-baru ini dengan pengumuman penting untuk menaik taraf infrastruktur perkhidmatan bekalan air seperti loji rawatan air, penggantian paip air bagi mengurangkan kehilangan air tidak terhasil (NRW) dan projek untuk meningkatkan liputan perkhidmatan pembentungan.

“Diharapkan kenyataan menteri tidak diputar-belitkan oleh pihak pembangkang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir yang juga Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) berkata, pengumuman menteri itu merujuk kepada dasar pandang ke hadapan oleh pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air, di saat keperluan air di Kelantan bakal meningkat pada tahun 2050 atau 2060.

Ini bermakna katanya, isu air di Kelantan bukan sahaja bakal diselesaikan dalam tempoh jangka pendek, malah optimis akan menyelesaikan isu bekalan air pada masa hadapan.

Untuk tempoh jangka pendek, rakyat dimaklumkan bahawa projek tebatan banjir fasa 1 dijangka siap Oktober ini, ujarnya.

Tambah beliau, sebagai ahli dalam suruhanjaya itu, adalah menjadi tanggungjawab SPAN untuk mengawal selia industri perkhidmatan air melalui pelaksanaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dengan adil, berkesan dan telus ke arah perkhidmatan air yang mapan, berdaya harap dan termampu untuk semua. – MalaysiaGazette